BERBEZAKAH KEPUTUSAN SPEAKER PARLIMEN DENGAN SPEAKER KELANTAN?



Bersatu telah menghantar notis kepada Speaker Parlimen, Johari Abdul semalam memohon supaya enam kerusi Parlimen yang dipegang wakil rakyatnya dikosongkan.


Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presiden parti, Ronald Kiandee menandatangani notis tersebut.


Beliau berkata, notis itu dihantar kerana keahlian parti enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah terhenti secara serta-merta selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan baru-baru ini.


“Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.


“Notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen Bersatu yang terhenti keahliannya secara serta-merta sudah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini,” katanya.


Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).


Ronald Kiandee mengingatkan bahawa Johari perlu menghormati pengesahan kekosongan luar jangka itu memandangkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa sebarang keputusan sesuatu parti politik “adalah muktamad dan konklusif”.


“Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan,” tambah beliau.


Di atas kertas itulah senarionya dan Johari ternampak tidak ada pilihan lain melainkan perlu mengisytiharkan kekosongan sebagaimana keputusan yang dilakukan oleh Speaker Dun Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkaitan kedudukan Adun Nenggiri.


Tetapi, segala-galanya terletak di tangan Johari untuk membuat keputusan dan beliau ada masa 21 hari bagi berbuat demikian setelah notis diterimanya.


Detik mendebarkan itu sudah semakin hampir kini.


Meskipun nampak macam Johari telah terikat tangannya dalam membuat keputusan, tetapi dalam politik, seketat mana pun ikatan menjerat, hujah atau dalil untuk berbeza pendirian tidak pernah tertutup rapat.


Akan sentiasa ada ruang terbuka untuk terus berbeza, apatah lagi sebagaimana ditulis sebelum ini – hukum politik kalau bertembung dengan hukum undang-undang, hukum politiklah yang selalunya menang bicara.


Maka itu, tidak mustahil Johari bakal membuat keputusan yang berbeza daripada apa yang kita semua jangka.


Apa pun, sama ada diisytiharkan kosong atau sebaliknya, suhu politik negara dijangka akan terus panas selepas ini.


Itu belum termasuk jika kes enam Ahli Parlimen terbabit membawa kes ke mahkamah lantaran tidak setuju dengan keputusan Speaker nanti. – ShahbudinHusin21Jun2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/06/21/detik-mendebarkan-kini-semakin-hampir.html



No comments: