Mufti Besar Australia puji keberanian PM bela Palestin

 


Kesungguhan dan keberanian Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahan hak rakyat Palestin mendapat pujian seorang ulama antarabangsa.



Syaikh Abdul Quddoos Al-Azhari yang juga Mufti Besar Australia berkata keberanian Anwar mempersoal sikap berat sebelah Barat tidak dilakukan oleh mana-mana pemimpin lain sejak bumi Palestin diserang Israel lapan bulan lalu.



"Saya menghormati semua mereka yang cintakan keamanan dan keberanian rakyat Palestin.



"Saya juga menghormati Perdana Menteri yang menjawab kepada Jerman apabila media bertanya beliau mengenai serangan 7 Oktober dan beliau bertanya, bagaimana dengan peristiwa Nakbah 1948?

"Itu keberanian. Tiada pemimpin atau pemerintah bertanya mengenainya dalam tempoh lapan bulan lalu," katanya dipetik.



Beliau berkata begitu pada ucapan di Majlis Ulama Asia 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu.

Perdana Menteri pada sidang akhbar bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz di Berlin pada Mac lalu mengkritik negara Barat kerana kurang bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza sebaliknya mengecam Hamas.



Dipetik laporan Agensi Anadolu (AA), Anwar menggesa negara Barat menghentikan sikap memilih-milih dan mempunyai perasaan yang bertentangan terhadap sesuatu.



Perdana Menteri berkata, beliau menolak keras naratif yang seolah-olah menggambarkan semua masalah itu bermula dan berakhir pada 7 Oktober, sedangkan ia bermula empat dekad sebelum itu dan berterusan setiap hari.