Sementara Bersatu sudah memutuskan akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adunnya yang telah mengkhianati parti berkaitan status keahlian masing-masing pada minggu depan, dua daripada mereka dianggap sudah pun sah terlucut keahliannya.
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin
berkata, dua wakil yang telah dianggap gugur keahlian secara automatik itu
ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi dan Adun Selat Klang,
Abdul Rashid Asari.
Menurut beliau, keahlian mereka dianggap gugur
berikutan kedua-duanya terlibat menyertai kempen untuk menyokong calon DAP yang
mewakili PH dalam PRK Kuala Kubu Bharu.
“Dua wakil rakyat Bersatu itu berceramah di
pentas PH dalam kempen PRK KKB, kalau ikut perlembagaan kita (Bersatu) secara
automatik (keahlian) mereka ini terhenti,” katanya selepas menghadiri ceramah
Perikatan Nasional (PN) di Bandar Utama Batang Kali.
Jelasnya, disebabkan keahlian mereka telah
terhenti, selaras dengan akta lompat parti, kedua-duanya perlu mengosongkan
kerusi Parlimen dan DUN bagi membolehkan PRK diadakan.
Kata Hamzah lagi, sebaik PRK KKB, pihaknya
akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang
telah mengkhianati parti dan beralih menyokong Anwar Ibrahim serta Menteri
Besar Selangor, Amirudin Saari.
Selain Dr Zulkafperi dan Abdul Rashin yang
berkempen untuk PH di KKB, lima yang lain ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed
Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua
Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul
Rahman (Labuan).
Dalam kes dua wakil rakyat Bersatu yang secara
terbuka menyertai kempen menyokong calon PH di KKB, adalah jelas perbuatan
mereka itu tidak dapat untuk dipertahankan lagi.
Di bawah akta lompat parti dan pindaan
perlembagaan Bersatu yang diluluskan RoS baru-baru ini, ia adalah kesalahan
yang sangat jelas.
Cuba kita bayangkan jika ada wakil rakyat PH
yang turun berkempen untuk calon PN, apakah boleh kita mempertahankan mereka
agar tidak diambil tindakan?
Begitu juga, jika ada wakil rakyat UMNO yang
secara terbuka berucap di pentas PN dan bersungguh-sungguh berlempen agar calon
PH dikalahkan, apa logiknya untuk mempertahankan mereka daripada tidak diambil
tindakan?
Akta lompat parti yang diluluskan di Parlimen
secara mudahnya ialah untuk menghalang perbuatan khianat dan menjual sokongan
kepada pihak yang bertentangan dengan pendirian parti yang wakil rakyat itu
wakili.
Ia bukan saja salah jika dilakukan oleh wakil
rakyat Bersatu, tetapi juga oleh sesiapa dan daripada parti mana sekali pun.
Dengan itu, khususnya kepada Dr Zulkafperi dan
Abdul Rashid, jika benar mereka masih ada maruah serta harga diri, eloklah
secara sukarela mengumumkan keluar parti dan mengosongkan kerusi yang diwakili.
Tak perlu tunggu parti mengambil tindakan dan
tak usahlah juga berdalih macam-macam lagi untuk terus mempertahankan kerusi
dan elaun wakil rakyat yang sedang diterima, sebaliknya insaflah bahawa
kedudukan yang diperlolehi sekarang ini adalah atas nama dan tiket parti.
Begitu juga dengan lima lagi wakil rakyat
Bersatu yang bakal menerima surat pada minggu depan, daripada segi maruah dan
harga diri, mereka juga harus mengosongkan kerusi masing-masing.
Tiada mana-mana parti menghalalkan perbuatan
khianat, maka wajarlah kerusi yang dipegang sekarang dikembalikan dan biarlah
pengundi membuat pilihan senula. – ShahbudinHusin 09Mei2024.