Saya tak pasti sama ada PMX pening kepala atau
tidak dengan UMNO dalam isu tahanan rumah yang difailkan Najib Razak di
mahkamah.
Sudahlah timbalannya sendiri dalam kerajaan
iaitu Ahmad Zahid Hamidi memihak kepada Najib dengan setuju menjadi saksi dalam
saman bekas Perdana Menteri itu yang menamakan tujuh responden berkaitan
kerajaan dalam samannya, terbaru pula Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh
mencetuskan polemik baru dengan ayat yang pedih “menembak” PMX iaitu – ini soal
sama ada kerajaan mahu menjunjung titah atau sebaliknya?
Seterusnya Dr Akmal “membedil” PMX lagi dengan
kata-kata – rakyat mahukan penjelasan bukan alasan.
Kalau pemimpin yang bertaraf senior serta
banyak makan garam menegur PMX sebegitu, barangkali boleh lagi diterima.
Ini tidak, standard BBNU (budak-budak baru nak
up) “menembak” begitu – kalau sayalah – memang terasa pedihnya.
Kalau saya duduk di tempat PMX, memang saya
kkni pening kepala dengan satu demi satu karenah UMNO ini.
Dah bagi Zahid Hamidi DNAA, patutnya cukuplah
tu, janganlah Presiden UMNO cetuskan kekalutan lain dengan setuju buat afidavit
dan jadi saksi Najib pula.
Sedarlah sikit saman Najib itu ditujukan
kepada kerajaan.
Bagilah orang lain jadi saksi – Zahid Hamidi
sepatutnya jaga PMX, bukan jaga Najib.
Lepas itu, perangai Dr Akmal pun Presiden UMNO
tak boleh kawal.
Saya boleh bayangkan bahawa selepas ini banyak
lagi karenah demi karenah akan ditimbulkan UMNO dalam kerajaan madani ini.
Menang cuma hanya 26 kerusi, tapi lagak macam
ada 260 kerusi.
Sebenarnya saya pun kesian dengan PMX,
sudahlah berjuang hampir 25 tahun untuk jadi Perdana Menteri, bila dah jadi
pula, banyak lagi masalah serta beban perlu dihadapi.
Masalah ekonomi, ringgit jatuh, pelaburan,
pengangguran dan macam-macam lagi, semuanya lebih penting berbanding isu Najib
atau Dr Akmal.
Dalam berdepan semua masalah itu, UMNO
sepatutnya tidak menambahkan lagi beban yang sudah sedia bertimbun di bahu PMX.
Kalau PMX tak pening kepala dan masih boleh
hadap semua karenah UMNO – sekarang dan akan datang – terserahlah.
Tapi kalau PMX mula rasa pening, saya ada satu
cadangan – saya pun tak pernah cerita lagi cadangan ini kepada sesiapa.
Ini saya hanya beritahu PMX seorang saja, jangan
heboh-heboh dan jangan cerita dengan orang lain.
Saya cadangkan PMX mulakan dengan segara untuk
berbaik-baik dan berhubungan dengan pimpinan PN.
Saya yakin kalau PMX hulurkan tangan, tambahan
lagi sekarang bulan Syawal, mereka tidak akan menolak.
Kalau berunding soal peruntukan pun PN sedia
datang berunding, kalau dibayang-bayangkan untuk dibawa menyertai kerajaan,
saya penuh yakin, mereka lebih tidak menolak lagi.
Kalau ada pun yang agak keras dalam PN
hanyalah Mahiaddin Md Yasin dan Hadi Awang saja, tetapi seorang ada kes
mahkamah dan seorang lagi berdepan masalah kesihatan.
Lain-lain pemimpin PN, saya yakin mereka tiada
masalah untuk menyertai kerajaan.
Tambahan lagi, Pas sebelum ini pernah bersama
dalam Pakatan Rakyat, manakala Bersatu adalah rakan lama dalam PH sendiri.
Politik ini dinamik, tiada musuh yang kekal
dan tiada kawan yang abadi.
Sebelum keputusan PRU15, siapa sangka UMNO dan
DAP boleh bekerjasama?
Kalau PN dapat digamit, biarkan saja UMNO
pamit.
Pilihan ada di depan mata, lainlah kalau
pilihan sudah tiada.
Sekali lagi saya ulang ayat dalam tulisan
semalam – apa nak pening-pening kepala!! – ShahbudinHusin 20/04/2024.