Kesudian Perdana Menteri (PM)
Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dan mengambil berat masalah pemandu teksi
disanjungi oleh Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin
dan Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain.
Menurut beliau, PM telah
menemui dan mengambil maklum masalah pemandu teksi dalam pertemuan mereka
beberapa minggu lalu dan semalam telah memberikan bantuan kewangan kembali ke
sekolah kepada anak anak pemandu teksi GTSM bagi mengurangkan beban membeli
kelengkapan pendidikan.
"Saya berjuang dalam
industri teksi ini sudah lama. Saya melalui banyak PM. Inilah PM pertama dalam
sejarah, baru setahun menjawat PM membuka pintu mendengar masalah kami.
"PM sebelum ini bukan
sahaja tidak balas surat, jumpa kami pun tidak. Datuk Seri Anwar bukan sahaja
membalas surat permohonan, bahkan membuka pintu mendengar masalah rakyat
bawahan. Kami terharu dengan keprihatinan dan kecaknaan beliau," katanya.
Menurut Kamarudin, dalam
pertemuan tersebut 3 cadangan telah diserahkan. Pertama, kerajaan dicadang
membenarkan kenderaan recon (diperbaikkan) dari luar negara
untuk diperkenal dalam industri teksi dengan jenama Malaysia Madani Yellow Cab
dan Black Cab.
"Sebab kalau nak suruh
pemandu beli (kereta) baru tak mampu. Kalau boleh bawa masuk (kereta recon) dari Jepun, Singapura maka mereka mampu
"Kedua, kami cadangkan
untuk menubuhkan aplikasi e-hailing
milik kerajaan, kerana ia melibatkan masalah rakyat. Ini bukan isu kecil, hari
ini kita dapat lihat berbilion wang dari industri telah dipunggah ke luar
negara (akibat aplikasi syarikat luar) tanpa memberi manfaat kepada pemandu
teksi
"Tetapi jika aplikasi ini
milik kerajaan maka wang terkumpul hasil komisen kita boleh pakai untuk tambah
baik industri teksi, beli insurans berkelompok, pinjaman mudah dan lain
lain," katanya.
Cadangan ketiga pula, jelas
Kamarudin, GTSM mahu kerajaan fokus masalah kadar tambang e-hailing yang tidak ada harga lantai.
Katanya, apabila syarikat e hailing bersaing sesama mereka dengan merendahkan tambang
maka bukan pemandu e-hailing
sahaja teraniaya tetapi pemandu teksi juga terkesan kerana rakyat akan memilih
kadar tambang paling murah.
Farhan menyerahkan sumbangan
tunai peribadi DS Anwar kepada anak anak pemandu teksi
Dalam pada itu, Setiausaha
Politik PM, Ahmad Farhan Fauzi yang menyerahkan sumbangan peribadi PM kepada
anak anak pemandu teksi tersebut berkata, bantuan terbabit diharap meringankan
beban para pemandu teksi dalam menyediakan kelengkapan anak anak mereka
memulakan sesi persekolahan baharu 11 Mac ini.
"Majlis ini (adalah untuk)
anak anak pemandu teksi yang kurang berkemampuan. Kita beri dalam bentuk wang
tunai 200, boleh beri kelengkapan macam beg sekolah dan sebagainya
"Sumbangan ini dari Datuk
Seri Anwar sendiri," katanya.