BERHIMPUN DI DEPAN ISTANA UNTUK REBUT KUASA HANYA KERJA BUANG MASA


Hanya kira-kira seminggu lagi sebelum Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menamatkan tempoh pemerintahan baginda selaku Yang Dipertuan Agong, suatu himpunan dengan tema “Selamatkan Tanah Air Kita, Suara Rakyat Ke Istana Negara” diadakan pagi tadi di depan Istana Negara.


Himpunan yang dianjurkan sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu turut menyerahkan memorandum yang dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara kepada Yang Dipertuan Agong.


Dipercayai, antara tuntutan yang dikemukakan ialah untuk menukar kerajaan dengan gambaran Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri telah gagal mentadbir negara dengan pelbagai isu kos sara hidup dikatakan masih berlarutan serta meletakkan kedudukan Islam dan Melayu kian terancam.


Memorandum tersebut juga menyatakan bahawa Raja-Raja Melayu telah dihina berikutan dakwaan pembangkang cuba merasuah Agong untuk merekayasa rampasan kuasa, sekaligus menjatuhkan kerajaan.


Selain itu, peranan Raja-Raja Melayu sebagai ketua hal ehwal Islam di negeri masing-masing juga didakwa telah diceroboh melalui cubaan menggunakan kuasa mahkamah.


Dilaporkan hampir 1,000 orang hadir dalam himpunan tersebut dengan individu dikenali ramai yang dilihat bersama hanyalah Tun Mahathir Mohamad seorang saja.


Tiada pemimpin pembangkang yang lain kelihatan hadir dalam himpunan tersebut.


Senang cerita, berikutan beberapa usaha dan langkah sebelum ini untuk menjatuhkan kerajaan telah menemui kegagalan, himpunan ini adalah cubaan terakhir dengan harapan supaya Agong dapat menilai semula kepimpinan negara sedia ada dan melakukan pertukaran Perdana Menteri.


Kononnya hanya kuasa Agong yang boleh menukar kerajaan ketika ini dan menterbalikkan kedudukan Anwar daripada Perdana Menteri menjadi rakyat biasa semula.


Gila betul mereka ini, kenapa hendak menyusah dan membebankan Agong di saat akhir tempoh pemerintahan baginda akan berakhir?


Bukankah Agong sudah bertitah sebelum ini bahawa baginda tidak masuk campur urusan politik?


Kenapa masih tak faham-faham lagi?


Kalau bersungguh benar nak jatuhkan kerajaan dan menukar Perdana Menteri, tunjukkanlah berapa sokongan Ahli Parlimen yang dimiliki sebagai bukti dan hebahkannya kepada seluruh dunia.


Kemudian, pada sidang Parlimen 26 Februari depan, kemukakanlah usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.


Setakat sembang saja nak jatuhkan kerajaan dan meratib Anwar gagal, seterusnya acah-acah berhimpunan konon rakyat bersama mereka, tetapi, ini hanya kerja buang masa.


Yang penting, tunjukkan bukti yang nyata.


Tambahan lagi, benarkah majoriti rakyat ketika ini tidak selesa, tidak bersama dan menolak kerajaan pimpinan Anwar?


Atau hanya keluarga Tun Mahathir dan Tun Daim saja yang ada rasa sedemikian rupa?


Sekali lagi ditekankan, semua ini kerja buang masa dan tiada keperluan untuk Agong melayan apa jua tuntutan melalui himpunan seperti ini yang pada hakikatnya hanya untuk memenuhi kehendak kelompok tertentu semata-mata. 


Kita sebagai rakyat pula tak usahlah benarkan diri kita terpedaya dengan drama seperti ini. – ShahbudinHusin 23/01/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/01/23/berhimpun-di-depan-istana-untuk-rebut-kuasa-hanya-kerja-buang-masa.html