MENYANGGAH HUJAH PENGERUSI BERSIH KONONNYA MELAYU ADALAH MAJORITI DI KL


Bersurahlah Pengerusi Bersih yang baru, Muhammad Faisal Abdul Aziz bahawa orang Melayu tidak perlu binbang daripada sudut perkauman jika pilihan raya di PBT diadakan di Kuala Limpur.


Ini kerana, menurut beliau, meskipun penduduk Kuala Lumpur adalah berbilang kaum, tetapi Melayu masih merupakan penduduk majoriti.


Malah, kata beliau lagi, dengan trend pertambahan jumlah kelahiran kaum Melayu yang tinggi, kadar peratus Melayu di Kuala Lumpur dijangka mencecah sehingga 50 peratus.


“Justeru, melihat kepada perangkaan ini, sudah pasti mana-mana pihak yang berminat meletakkan calon untuk pilihan raya PBT di Kuala Lumpur akan mempertimbang untuk meletakkan calon utama dari kaum Melayu,” katanya lagi.


Selain itu, Faisal yang juga bekas Presiden Abim, turut memetik Banci Penduduk 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia di Kuala Lumpur yang mencatatkan penduduk Melayu adalah sejumlah 41.5 peratus, Cina 36.2 peratus, India 8.9 peratus dan lain-lain 1.1 peratus serta (bukan warganegara 12.3 peratus).


Selanjutnya, sebagai tanda sokongan kepada perlaksanaan pilihan raya PBT, beliau menegaskan, ia mampu memperkasa suara rakyat dalam membawa isu setempat, di samping memastikan peningkatan nilai kebertanggungjawaban pihak berkuasa.


“Ia juga secara tidak langsung akan meringankan kerja Ahli Parlimen yang sebelum ini terpaksa menyelesaikan semua isu setempat melibatkan sampah sarap, longkang tersumbat dan sebagainya, sedangkan tugas mereka adalah untuk menggubal serta menyemak undang-undang dan dasar penting negara. 


“Daripada sudut yang lain, pilihan raya PBT turut mampu menghidupkan kesedaran politik dalam kalangan masyarakat di sesebuah lokaliti,” tambahnya lagi.


Dalam hal ini, saya tidak ingin bersurah panjang untuk menyanggah hujah Pengerusi Bersih itu, tetapi sekadar ingin mengingatkan bahawa fakta di atas kertas tidak selalunya sama dengan realiti di lapangan.


Bahkan, pakar ekonomi yang hafal segala macam teori pemasaran juga belum tentu boleh berjaya jika menceburi dunia perniagaan.


Fakta semasa untuk difahami mudah saja, di Kuala Lumpur ini ada 11 kawasan Parlimen – Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.


Pertama, daripada 11 kawasan tersebut, berapa kawasan dihuni oleh majoriti Melayu dan berapa kawasan lagi oleh bukan Melayu?


Kedua, daripada 11 kawasan Parlimen yang ada di Kuala Lumpur, berapa kerusi yang dimenangi oleh calon daripada parti Melayu seumpama UMNO atau Pas misalnya?


Ketiga, berapa kerusi pula yang dimenangi oleh calon daripada parti campuran seperti PKR, tetapi diketahui mendapat sokongan yang kuat daripada pengundi bukan Melayu?


Seterusnya yang keempat, berapa kerusi yang dimenangi oleh calon bukan Melayu dan daripada parti bukan Melayu?


Dengan segala fakta di atas, jika diadakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur, bolehkah Faisal memberi jaminan orang Melayu masih boleh mendapat tempat atau mereka bakal merempat? – ShahbudinHusin 20/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/20/menyanggah-hujah-pengerusi-bersih-kononnya-melayu-masih-majoriti-di-kl.html



No comments: