TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM






Rafizi Ramli


Kerajaan akan mula mengumumkan langkah-langkah ke arah pelaksanaan govtech secara berfasa bermula Disember ini.

Kertas konsep transformasi perkhidmatan awam ke arah digital dan tech akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Disember ini.

Selain dari hala tuju, pelan tindakan dan fasa-fasa, gambaran awal mengenai khidmat-khidmat kerajaan yang akan disatukan melalui satu tingkap akan dibentangkan kepada Kerajaan.

Hasrat kami ialah menaik taraf interaksi rakyat dengan kerajaan melalui produk-produk digital yang akan mempercepatkan proses, membawa pengalaman baru.

Saya yakin melalui govtech, rakyat akan merasa perubahan dan penambahbaikan ketara pengalaman berurusan dengan kerajaan. Produk-produk digital ini akan memberi penekanan kepada CX, UI dan UX seperti mana produk digital sektor swasta.

Satu langkah utama ke arah revolusi digital dan tech dalam sektor awam ialah mewujudkan kepimpinan awam yang menjadi peneraju dan pemikir digital.

Untuk tujuan ini, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Asian School of Business (ASB) telah membangunkan program khusus kepimpinan digital dan tech (Executive Digital Leadership) untuk melatih kepimpinan sektor awam dan swasta menjadi pemimpin dan peneraju tech.

Kumpulan pertama 55 orang peserta dari sektor awam dan swasta telah memulakan program intensif 3 bulan. Selain dari silibus yang dibangunkan ASB, mereka berpeluang mendalami proses “immersion” dengan 5 syarikat gergasi teknologi dunia iaitu Amazon Web Services, Google, Microsoft, IBM dan Shopee.

Saya mengambil sedikit masa memberi kata-kata semangat kepada kumpulan pertama ini. Insya Allah, mereka akan menjadi peneraju revolusi digital dan tech di sektor awam dan swasta di negara ini.





No comments: