BUDAYA TAKFIRI DI PARLIMEN: PEMIMPIN PAS PERLU LEBIH BERHIKMAH


 Kekecohan di Dewan Rakyat baru baru ini apabila Ahli Parlimen Pas mengecam DAP dengan gelaran ‘DAP Kafir’ mengundang reaksi tidak senang dalam kalangan anggota parlimen kerajaan.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari, sikap pemimpin pembangkang itu amat tidak wajar, lebih lebih lagi apabila membawa isu kafir mengkafir (takfiri) dalam perbahasan parlimen.

Kata beliau, isu takfiri telah banyak dibahaskan oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) dan disepakati untuk ditegah daripada digunakan secara sewenang-wenangnya.

“Dr Yusuf Al Qaradhawi (bekas Ketua Kesatuan Ulama Sedunia) menyebut bahawa perkataan kafir tidak wajar lagi digunakan (dalam istilah kenegaraan moden), sebaliknya perkataan yang paling sesuai adalah ‘muwatinun’ atau rakan senegara. Ini disebut dalam perbahasan Fiqh Kewarganegaraan,” katanya ketika dihubungi.

Hal itu sesuai dengan konsep bernegara yang dicapai melalui perundingan atau berkongsi memerintah di antara orang Islam dan bukan Islam dalam Perlembagaan negara moden. Manakala istilah kafir sesuai digunakan dalam keadaan bukan Islam ditakluk pemerintah Islam dan dikenakan cukai jizyah.

Di Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (Pas) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menuduh DAP sebagai kafir namun menarik semula dakwaan tersebut atas arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor.

Keputusan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menyifatkan kenyataan tersebut biadap dan kurang sopan kerana DAP juga dianggotai pemimpin beragama Islam.

Mengulas lanjut, Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyarankan parti Pas untuk peka dan sensitif dalam isu takfiri memandangkan parti itu lebih ‘faham’ soal hukum hakam agama.

Jelasnya, dalam negara pelbagai kaum, perkataan sebegitu tidak seharusnya digunakan terutama di Dewan Rakyat.

“Pemimpin Pas lebih faham tentang hadith dan dalil seharusnya lebih bijak dan berhikmah dalam menyampaikan perbahasan ataupun dakwah.

“Label-melabel tidak seharusnya dibuat terutama negara kita majmuk dan harmoni, lebih-lebih lagi di dalam Dewan Rakyat yang mulia,” jelasnya lagi.