Malaysia seharusnya menerima pelarian Palestin sebagaimana negara ini pernah menerima pelarian daripada Syiria dan Bosnia.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk Perhubungan
Antarabangsa dan Perdagangan, Wong Chen, walaupun Malaysia tidak menandatangani
Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967, namun sejarahnya negara telah
menerima pelarian Vietnam secara sukarela pada 1970-an, pelarian muslim Moro
dan pelarian Cham pada 1980-an, pelarian Bosnia pada 1990-an, serta pada 2015
pelarian Rohingya dan pelarian Syria.
Katanya, jumlah pelarian yang akan diterima pula boleh mengambil
contoh jumlah pelarian dari negara Islam sebelum ini yang diterima Malaysia.
"Jadi, jika kabinet bersetuju untuk mengambil pelarian Gaza,
berapa ramai yang perlu kita ambil? Berapakah bilangan pelarian yang sesuai
yang kita mampu tampung?
"Kita tidak boleh menggunakan jumah Vietnam, Moro, Cham atau
Rohingya sebagai panduan, kerana ini sebahagian besarnya pelarian yang datang
ke sempadan kita dari negara jiran.
"Sebaliknya, kita harus menggunakan bilangan pelarian Bosnia
dan Syria sebagai panduan.
"Jadi berapakah jumlahnya? Malaysia telah menerima 350
pelarian Bosnia pada tahun 1992 dan 3,000 pelarian Syria pada tahun 2015. Jadi,
saya mengatakan jika Malaysia memutuskan untuk mengambil pelarian Gaza, ia
mungkin akan menjadi sekitar 1,000 hingga 2,000 orang," katanya dalam kenyataan.
Menurut Wong Chen lagi, tekanan ekonomi dalam negara tidak boleh
dijadikan alasan menghalang Malaysia menerima pelarian.
Ujarnya, sebahagian penduduk Palestin adalah berpendidikan dan
mereka boleh bekerja untuk menyara kehidupan.
"Jika kita memeriksa dan membawa masuk pelarian dari kelas
profesional, seperti jurutera, dan membolehkan mereka bekerja di Malaysia,
mereka akan dapat membayar untuk menyara hidup sendiri, malah menyumbang secara
positif kepada ekonomi kita," katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Subang itu agak kecewa kerana ramai
golongan terpelajar tidak memahami erti menyediakan tempat perlindungan kepada
pelarian.
Katanya, ianya tidak sama seperti memberikan kewarganegaraan atau
pemastautin tetap kepada pelarian tetapi memberi mereka perlindungan sementara
sangat penting. Selepas perang tamat dan keadaan menjadi normal, jelasnya,
pelarian akan dihantar pulang. Itulah norma antarabangsa mengenai perkara
pelarian.
"Saya dapati kebanyakan komen negatif diwarnai oleh prasangka
politik dan perkauman yang teruk, terutamanya terhadap rakyat Timur Tengah.
"Jika Malaysia mengambil pelarian, kita tidak akan menerima
pejuang (kumpulan bersenjata) tetapi yang paling terdedah, wanita dan
kanak-kanak," katanya lagi.
Hujah bersama pelarian akan ada puak bersenjata dan menjadikan
Malaysia sebagai pengkalan masa hadapan bagi Wong Chen adalah prasangka semata
mata dan hal itu tidak boleh dijadikan alasan menolak pelarian.