Kenyataan mantan Perdana Menteri (PM) Perikatan Nasional, Mahiaddin Yassin telah menyelesaikan sehingga 80% hutang peneroka Felda pada 2021 tidak mempunyai bukti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi menafikan Mahiaddin telah melupuskan hutang berkenaan kerana bekas PM itu tidak menandatangani dokumen kewangan yang menyatakan hal demikian.
“Semalam saya umum pasal Felda, bantuan melupuskan hutang (peneroka) Felda RM8.3 bilion. Hari ini mantan PM Tan Sri Mahiaddin buat kenyataan PM (Anwar) berbohong buat kenyataan. Perkara itu sudah selesai 2021.
“Ini masalahnya, bila ada kuasa, kerja nak cari kontrak buat anak pinak. Sekarang kamu kata dah selesai. Saya baru sain akhir Jun, Menteri Kewangan sain
“Kamu kata dah selesai 2021, bagaiamna? Selesai di mana?” tanyanya dalam program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Tegas PM, hutang tersebut belum selesai kerana tidak dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021 atau 2022 ketika PN memerintah. Penyelesaian itu, katanya, hanya diumumkan tetapi tidak mengikut prosedur kewangan sepatutnya.
“Menang ada persetujuan (lupus hutang) tetapi tak selesai. Belanjawan 2021 bawah PN, 2022 bawah PN tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan menghapus hutang Felda.
“Hanya dalam Belanjawan Madani bulan November 2023 saya mula serah RM990 juta peruntukan awal lupuskan hutang peneroka yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya lagi.
Terdahulu bekas PM Mahiaddin Yassin berkata pentadbiran beliau telah pun menyelesaikan hutang pada peneroka pada 2021 dan kenyataan bahawa hutang tersebut baru diselesaikan pada tahun 2023 adalah pembohongan.