Biarpun Muda sebenarnya telah membuat ketetapan untuk bertanding solo pada PRN akan datang ini dan sebab utama keputusan tersebut diambil adalah disebabkan permohonan mereka untuk menyertai PH tidak mendapat layanan yang sewajarnya, yang tidak kena dalam hal ini ialah masih ada yang cuba memujuk Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar mengubah pendirian mereka.
Lim Kit Siang, veteran DAP dan Setlausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin adalah antara yang terawal berbuat demikian.
Selain meminta Muda mempertimbangkan semula keputusan itu, mereka juga menyifatkan Muda agak tergesa-gesa dalam membuat ketetapan berkenaan.
Kata mereka lagi, Muda sepatutnya bersama dengan kerajaan perpaduan dalam PRN akan datang nanti dan bukan memilih bertanding solo.
Kalau dilihat tempoh masa Muda memohon menyertai PH dan tiada jawapan diberikan sehingga kini, keputusan mereka bertanding solo itu dalam PRN ini haruslah dihormati.
Tidak perlu dipujuk atau digesa lagi Muda mengubah pendiriannya.
Jika selama ini tidak sesiapa yang bersuara kepada PH agar segera membuat keputusan, sama ada menerima atau menolak permohonan Muda, kenapa setelah parti itu membuat ketetapan untuk bertanding solo, baru pujukan mahu disuarakan?
Biarkan saja Muda dengan ketetapan dan pendiriannya itu kerana PH selama ini pin terbukti keberatan untuk menerima parti itu sebagai ahli komponen PH.
Lagi pula, tiada apa yang PH perlu bimbangkan dengan Muda dalam PRN enam negeri akan datang nanti.
Lawan sebenar PH ialah PN dan tumpuan hendaklah diberikan ke arah bagaimana melawan naratif kempen yang dibawa oleh blok pembangkang itu.
Oleh kerana Muda hanya bertanding sejumlah kecil kerusi Dun di beberapa negeri tertentu, parti itu bukanlah ancaman kepada PH.
Malah PH juga tidak perlu bimbang dengan kemungkinan Muda mampu memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada PN.
Sebagaimana ditulis dalam artikel sebelum ini, penyertaan solo Muda dalam PRN akan datang nanti tidak ubah seperti Pejuang yang juga bertanding solo pada PRU15 lalu.
Kalau Tun Mahathir Mohamad yang mengetuai Pejuang ketika itu pun tidak mampu menyumbang sebarang kemenangan, bahkan hilang deposit semua kerusi yang ditandinginya, apakah Syed Saddiq lebih hebat daripada bekas Perdana Menteri itu?
Mana-mana pemimpin PH selepas ini jangan buang masa lagi untuk memujuk dan merayu Muda mengubah keputusan yang telah mereka buat itu.
Biarkan saja kerana pendirian Muda itu dibuat setelah mereka tidak mendapat layanan yang sewajarnya daripada PH sendiri.
Dalam hal ini, tindakan Adam Adli, Ketua Pemuda PKR yang mendesak Muda memilih atau membuat pengumuman sama ada masih bersama kerajaan perpaduan atau blok pembangkang, bolehlah diberi sedikit pujian.
Tindakan beliau itu sekurang-kurangnya memperlihatkan jati dirinya dalam mempertahankan maruah PH.
Tetapi, tindakan yang lebih terpuji ialah jika Adam berani mendesak Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan Pengerusi PH agar tidak berlengah lagi mengeluarkan Muda daripada parti yang menyokong kerajaan perpaduan.
Keputusan Muda bertanding solo dan ingin menentang parti dalam kerajaan perpaduan sendiri dalam PRN ini dengan sendirinya bermakna mereka bukan lagi penyokong kerajaan perpaduan.
Nak tunggu dan simpan buat apa lagi? – ShahbudinHusin 29/06/2023.