Undi BN, penduduk bandar hilang tanah, rumah
Pengundi di Bandar Tun Razak diingatkan agar memilih calon pro rakyat yang akan diletakkan oleh KEADILAN di kawasan itu kerana tanah yang mereka miliki amat berharga dan menjadi intaian pemaju perumahan.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, hanya wakil rakyat yang hatinya kepada rakyat marhaen akan menolak pembangunan yang tidak menguntungkan penduduk asal.
Wakil rakyat parti lain, ujarnya, jika diberi wang secukupnya oleh pemaju maka mereka akan berdiam diri.
“Pengundi (bila calon KEADILAN telah menang) ketuk pintu wakil rakyat tak henti henti. Sebab saya nak sebut kawasan Bandar Tun Razak ini antara yang paling sukar kita nak jaga kebajikan rakyat. Tanah di sini satu dunia berebut. Yang baik berebut, yang (perangai) jin pun berebut.
“Tanah kalau dapat kepada orang tak baik, sekali dapat tanah boleh buat harta berpuluh tahun akan datang. Apa masalah utama kalau jadi penduduk Bandar Tun Razak?
“Saya takut orang asal di sini makin lama dipinggir dan terkeluar, baik di Sungai Besi, Kampung Malaysia dan sebagainya. Sebab tanah yang ada terlalu mahal. Mesti ada orang kata, daripada bagi kat pakcik elok aku buat kondo besar. Bagi sikit duit kat pakcik, kat YB, kat DBKL. Daripada tanah macam tu (tak membangun) melabur RM10 juta boleh dapat RM200 juta. Jin macam ini ada sampai kiamat
“Pada masa sama kita tengok anak kita keluar universiti cari kerja tak dapat. Fikir, macam mana aku dah tua anak anak masih belum keluar rumah (berkeluarga). Pada masa kita fikir rumah untuk mereka, rumah kita silap silap hari melayang,” katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia di Parlimen Bandar Tun Razak, malam tadi.
Rafizi dalam ceramah itu juga membidas dasar perumahan negara yang masih berharap pemaju swasta untuk membina rumah rakyat.
Sedangkan, katanya pemaju akan mencari keuntungan untuk setiap hasil perniagaan. Tegas Rafizi, kerajaan sepatutnya membuat rumah mampu milik dengan kos harga yang relatif murah dan benar benar mampu dimiliki rakyat
“Kalau serahkan 100% kepada syarikat swasta sebagaimana dibuat oleh Umno BN dan pengundi Bandar Tun Razak cukup faham hal ini. Lepas satu plot ke satu plot (tanah kena jual).
“Bila naik bangunan besar, harga satu unit 600 kaki persegi RM700,000. Sampai bila bila pun anak kita tak mampu.
“Jika kerajaan tidak ada dasar perumahan yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan maka pengundi Bandar Tun Razak akan lihat rumah banyak tetapi di beli orang asing. Pakcik makcik balik kampung. Itu masalah di mana mana bandar besar di dunia kalau tak ada dasar perumahan yang baik,” katanya.
Justeru itu, Rafizi mengumumkan calon yang akan diletakkan KEADILAN dan PH di Bandar Tun Razak merupakan ahli politik antara yang terbaik dalam menjaga hak rakyat.
“Dia jadi wakil rakyat bukan untuk orang kaya, untuk lobi orang yang telah hidup senang. Orang itu tak ada masalah (isu hartanah). Nak bela ada ramai peguam dia boleh bayar. Yang tak mampu ini, peniaga kecil, miskin bandar rumah nak kena rampas. Orang berniaga di kawasan tanah kerajaan, tanah itu kerajaan nak bagi pemaju.
“Sebab itu saya boleh sebut kali ini calon KEADILAN di Bandar Tun Razak, calonnya paling baik yang kita ada, sebagai isyarat kita minta maaf penduduk Bandar Tun Razak.
“Untuk Bandar Tun Razak kita tampilkan antara yang paling baik kita pernah ada,” katanya lagi.