Ibarat lelaki kasanova yang sedang mabuk dan kemaruk mahu memikat seorang gadis jelita secantik bidadari daripada syurga, itulah perumpamaan paling sesuai untuk menggambarkan bagaimana ghairahnya Tun Mahathir Mohamad mahu bekerjasama dan ingin berbaik dengan Anwar Ibrahim menjelang PRU15 akan datang ini.
Agaknya juga, siang dan malam, waktu makan, waktu mandi dan sebelum melelapkan mata pun wajah Anwar saja yang terbayang di matanya.
Entah sudah kali yang ke berapa beliau meluahkan perasaan ingin berbaik semula dengan Presiden PKR itu, terbaru hari ini luahan hati bekas Perdana Menteri itu muncul sekali lagi dan ternampak beliau begitu terdesak sekali.
Katanya, jika kali ini beliau yang perlu memulakan langkah terlebih dahulu ke arah itu, beliau sanggup melakukannya.
Malah menurut Pengerusi GTA itu, beliau juga tidak kisah jika dengan tindakan itu akan ada pihak menganggapnya menjilat semula ludah sendiri.
Kenapa sampai begitu sekali?
Bukankah baru beberapa hari lalu beliau mengeluarkan kenyataan bahawa sebab utama GTA enggan bekerjasama dengan PH ialah kerana di dalam gabungan itu ada DAP yang tidak disukai oleh orang-orang Melayu?
Tambah beliau, dengan bekerjasama dengan PH yang ada DAP itu, maka ia akan menyebabkan GTA kehilangan sokongan daripada orang-orang Melayu.
Tetapi, kenapa hari ini sanggup menjilat ludah sendiri untuk berbaik semula dengan Anwar?
Tidakkah mahu bekerjasama dengan Anwar bermakna mahu bekerjasama dengan PH yang masih ada DAP di dalamnya?
Tak takutkah ditolak oleh orang-orang Melayu atau GTA sebetulnya tiada kekuatan langsung untuk menang walau satu kerusi?
Meskipun Anwar dalam reaksi segeranya terhadap hasrat Tun Mahathir itu lebih memperlihatkan sifat kenegarawanannya dengan menyatakan tiada masalah baginya untuk bertemu dan berbincang, ingin dipesan kepada Pengerusi PH itu agar jangan buang masa walau sesaat pun berbuat demikian.
Semua penyokong PH, pengundi atas pagar dan rakyat biasa secara umumnya sangat tidak suka dan menolak jika Anwar bekerjasama dengan Tun Mahathir yang dalam hatinya lebih banyak sifat khianat berbanding keikhlasan.
Berbaik dengan Tun Mahathir, apa lagi jika bekerjasama, hanya akan menyebabkan Anwar dibenci dan ditolak oleh penyokongnya sendiri.
Lagi pula, PH ketika ini sedang berada di landasan yang betul untuk meraih kemenangan walaupun tanpa bekerjasama dengan GTA dan Pejuang.
Muslihat sebenar di sebalik kerjasama yang diimpikan oleh Tun Mahathir itu tidak lain adalah untuk beliau, GTA dan Pejuang menumpang kekuatan PH demi memastikan nafas politiknya tidak terhenti dan ditolak pengundi, bukan sangat untuk mengelakkan UMNO/BN daripada berkuasa semula.
Selepas berjaya nanti, percayalah, sekali lagi Anwar akan ditolaknya daripada menjadi Perdana Menteri.
Dalam hati, jiwa, urat dan seluruh pembuluh darahnya, ketakutan paling besar Tun Mahathir ialah jika Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri.
Oleh itu, jangan sama sekali berjumpa atau menghubungi beliau untuk merundingkan sebarang kemungkinan bagi bekerjasama itu.
Dengan tarikh penamaan calon dan pengundian telah ditetapkan oleh SPR, sekarang ini sebenarnya adalah masa untuk bersiap sedia ke medan perang dan sebaiknya simpan dulu semua pen yang boleh digunakan bagi menandatangi perjanjian kerjasama.
Lupakan terus Tun Mahathir, PH tidak mati tanpa beliau, tetapi Tun Mahathirlah yang mungkin mati kerjaya politiknya tanpa bekerjasama dengan PH.
Dalam perkembangan sama, maklumat lain mengatakan Tun Mahathir telah menghantar orangnya untuk bertemu dengan orang kanan Anwar bagi merintis jalan hubungan kerjasama yang dimpikannya itu sejak dua minggu lalu.
Dalam pertemuan itu, orang Tun Mahathir itu kemudian meminta orang kanan Anwar agar memujuk Presiden PKR itu agar sudi menghubungi dan seterusnya bertemu dengan Tun Mahathir.
Kenapa Anwar yang diminta menghubungi Tun Mahathir, sedangkan Tun Mahathir yang ingin bekerjasama dengan Anwar?
Tidak mungkinkah jika Anwar menghubungi Tun Mahathir, keadaan nanti akan dipesongkan seolah-olah Anwar yang ingin bekerjasama dengan beliau?
Di sini saja sudah boleh dinilai di mana keikhlasan beliau terhadap Anwar.
Oleh itu, pilihan terbaik bagi Anwar hanya satu – jangan hubungi, jangan jumpa dan tolak sama sekali untuk bekerjasama dengan sang pengkhianat itu. – ShahbudinHusin 21/10/2022.