Parti Bersatu yang mengepalai Perikatan Nasional (PN)
"marah-marah" kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana
mungkir janji untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri dari Parti
Bersatu.
Ismail Sabri respon semalam tentang ugutan Bersatu dengan
berkata bahawa jika PN tarik sokongan maka Kerajaan akan tumbang dan sebagai
Perdana Menteri beliau akan menasihati Yang diPertuan Agong supaya Pilihanraya
Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Pandai Ismail Sabri bersilat dengan mematikan langkah dan gerak
Parti Bersatu.
Jika PRU15 diadakan segera kerana terpaksa akibat ugutan dan
tindakan Parti Bersatu tarik sokongan, maka Parti Bersatu menerima Dua tiga
kesan langsung.
Pertama Rakyat marah.Kedua Parti Bersatu dilihat melanggar
amanat Yang diPertuan Agong supaya ada kestabilan politik.Ini membawa kemurkaan
di pihak Istana.
Ketiga, jika PRU15 diadakan sekarang maka Umno pimpinan Zahid
Hamid dan de facto leader "Bossku" Najib Razak dari kluster Mahkamah
yang dimusuhi Bersatu yang mendapat untung dan laba.
Parti Bersatu yang diketuai tiga serangkai sekarang iaitu
Muhyidin Yasin, Azmin Ali dan Hamzah Zainudin eloklah bermuhasabah dan
menginsafi diri tentang untung nasib Parti Bersatu sekarang.
Bidalan Melayu ada berkata: "Mengata dulang paku serpeh;
Mengata orang aku yang lebih".
Muhyidin,Azmin dan Hamzah Mengata Perdana Menteri Ismail Sabri
melupai janji.
Soalan perlu dikemukakan kepada 3 serangkai pemimpin Parti
Bersatu itu.
Tidakkah dulu ada janji PH di mana Parti Bersatu ada di dalamnya
berjanji Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri sementara iaitu dua
tahun dan selepas itu jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Anwar Ibrahim?
Muhyidin yang jadi Presiden Parti Bersatu ketika itu berusaha
menggagalkan perjanjian itu dan berjaya akhirnya dengan Langkah Sheraton di
mana Muhyidin Yasin pula yang jadi Perdana Menteri ke-8, bukannya Anwar
Ibrahim.
Begitu juga Azmin Ali.Tidakkah dia semasa PH berkuasa dan Dr
Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh berhujah keras dan berusaha
untuk gagalkan Anwar Ibrahim menggantikan Mahathir dengan berkempen supaya
Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga penuh penggal Parlimen ke-14,
bukannya sekadar dua tahun?
Tetapi akhirnya dengan Langkah Sheraton, Tidakkah Azmin yang
membawa 10 orang Ahli Parlimen Parti Keadilan meninggalkan Keadilan dan PH
sehingga Kerajaan PH tumbang. Tidakkah janji kepada Anwar Ibrahim dikhianati?
Begitu juga Hamzah Zainudin bersekongkol dengan Mahathir
mengadakan Perhimpunan Melayu pada tahun 2019 sebagai satu usaha menggagalkan
peralihan kuasa Perdana Menteri dari Mahathir kepada Anwar Ibrahim?
Jadi apa moralnya yang ada pada Muhyidin, Azmin dan Hamzah
menuntut janji daripada Perdana Menteri Ismail Sabri sedangkan tiga serangkai
pemimpin Parti Bersatu itu pernah MEMUNGKIRI JANJI mereka kepada Anwar Ibrahim,
parti -parti dalam PH dan Rakyat yang menyokong PH dalam PRU14 lalu yang
inginkan perubahan dan reformasi.
Inilah balasan bagi mereka yang MEMUNGKIRI JANJI.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
7 Ogos 2022