Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri
Zahid Hamidi bahawa pembangkang takut menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15
dan cuba 'membeli waktu' dengan pelbagai alasan tidak benar sama sekali.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan
KEADILAN, Manivanan Gowin, pembangkang khususnya KEADILAN sedia masuk PRU pada
bila bila masa kerana itulah cara memilih kepimpinan secara demokrasi.
Bagaimanapun, katanya, adakah masalah
rakyat akan selesai dengan mengadakan PRU dan parti tertentu memerintah.
"Pada saya dengan apa yang sedang
berlaku sekarang, kita nampak pembelaan kepada rakyat tidak dapat dikotakan
oleh kerajaan yang memimpin hari ini.
"Namun untuk menukar kerajaan kita
mesti melalui pilihan raya. Bermaksud kita akui bahawa pilihan raya adalah satu
peluang untuk menyelesaikan masalah kepimpinan negara.
"Bagi kita, satu parti reformis
(KEADILAN), bila bila masa kita bersedia untuk masuki medan pilihan raya itu
tak ada isu," katanya.
Sebaliknya, Manivanan mengingatkan
Zahid mengenai tujuan Pakatan Harapan bersetuju menandatangani Memorandum
Kerjasam (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan tahun lalu, tidak lain adalah bagi
memberi peluang kepada kerajaan BN - PN menyelesaikan masalah rakyat.
Katanya, dalam keadaan inflasi
melambung, peluang kerja terhad dan banyak rakyat menganggur kerajaan Perdana
Menteri Datuk Seri Ismail Sabri perlulah menyelesaikan masalah terlebih dahulu,
bukan sibuk mendapatkan kuasa melalui PRU.
"MoU itu kita memberi peluang dan
ruang kepada pemimpin yang berhasrat untuk memimpin sebelum ini. Sebagai
contoh, PM Ismail Sabri untuk dia membawa isu rakyat dan menyelesaikan masalah
yang bertimbun.
"Jadi kita sedang beri ruang dan
peluang kepada beliau dan kabinetnya untuk memastikan isu rakyat diselesaikan
dalam satu masa terdekat dan selepas itu kita masuk pilihan raya,"
katanya.
Justeru, kata mantan Ahli Parlimen
Kapar itu, kenyataan Zahid kononnya pembangkang membeli masa kerana takut PRU
hanyalah retorik untuk menyembunyikan kegelisahan beliau sendiri kerana pilihan
raya tidak berlaku sebagaimana dirancang oleh pemimpin tertentu Umno.
"Jadi sekarang untuk menyatakan
kita membuat MoU (atau hal hal lain) untuk melambatkan pilihan raya itu tidak
betul kerana dalam MoU itu pun ada beberapa point untuk menyelesaikan isu
rakyat.
"Walaupun kita akui kerajaan
dipimpin Ismail Sabri gagal memimpin atau menyelesaikan masalah rakyat yang
bertimbun," katanya lagi.
\