GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang bersedia mempertimbangkan permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengusahakan tanaman jagung sebagai alternatif makanan ayam dalam skala kecil, di tanah lesen pendudukan sementara (TOL) di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata pihaknya menggalakkan petani menceburi tanaman jagung itu dalam skala kecil kerana ketika ini permohonan untuk tanah TOL kebanyakannya hanya untuk penanaman buah-buahan.
“Penanaman bijirin atau jagung untuk makanan ayam berskala besar tidak sesuai di Pulau Pinang yang mempunyai keluasan tanah yang kecil dan setakat ini hanya penanaman padi dalam skala besar sahaja dijalankan iaitu di kawasan Seberang Perai Utara.
“Tanah TOL juga sebenarnya pegangannya perlu diperbaharui setiap tahun (satu tahun) dan ia tidak sesuai untuk tanaman jangka panjang.
“Keluasan tanah TOL juga cuma sekitar 10,000 kaki persegi dan terdapat plot-plot kecil untuk individu sekitar 2,000 hingga 5,000 kaki persegi yang kerap dimohon untuk aktiviti pertanian,” katanya.
Chow berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Bayan Baru, dekat sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai Kabinet meminta kerjasama kerajaan negeri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan tanah TOL untuk penanaman jagung, bagi jangka masa panjang.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, keputusan itu berdasarkan pandangan Jemaah Menteri berkaitan penanaman jagung, untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam dan pihak berkaitan juga diminta membentangkan pelan-pelan terbabit dalam masa terdekat bagi projek penanaman jagung dan sebagainya.
Chow berkata, Pulau Pinang juga ketika ini amat menggalakkan aktiviti pertanian dan penternakan malah negeri itu merupakan antara negeri yang mempunyai tahap kemampuan tinggi untuk berdikari dalam bidang antaranya penternakan dan perikanan dalam sangkar.
Menurutnya, hasil laut Pulau Pinang dieksport ke negeri lain antara penyumbang terbesar kepada sektor ekonomi, malah hasil padi juga antara tertinggi disumbangkan kepada ekonomi negeri.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kekurangan bekalan ayam dan barangan makanan lain di negeri ini, beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kekurangan yang meruncing.
“Dengan isu kekurangan bekalan yang dihadapi ketika, saya mengharapkan agar Jabatan Perkhidmatan Veterinar dapat memantau hasil dari ladang di negeri ini dan sekiranya bekalan untuk negeri mencukupi maka kita galakkan ia dieksport ke negeri berdekatan yang menghadapi masalah kekurangan bekalan,” katanya.