Mampukah PH buat kejutan PRU 15?
Perubahan politik pada tarikh 9 Mei 2018 diingati seluruh rakyat Malaysia sebagai ‘Revolusi Demokrasi’ yang membebaskan negara daripada belenggu penindasan rejim BN sejak 61 tahun.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, genap 4 tahun peristiwa itu berlaku rakyat masih lagi terkenang kejatuhan BN yang diraikan pada tanggal 9 Mei sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri.
“Empat tahun lalu, rakyat ingin melihat Kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang di Putrajaya. Hal itu berlaku.
“Rakyat ingin melihat Kerajaan BN tumbang di mana mana. Itu juga berlaku. Dari utara bermula di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Kerajaan Negeri BN tumbang. Kerajaan BN di Sabah juga kalah. Kerajaan Negeri Sarawak pula keluar dari BN.
“Hanya Pahang dan Perlis dikuasai BN. Manakala Terengganu dan Kelantan dimenangi semula oleh Pas
“Keazaman rakyat di seluruh negara jelas inginkan perubahan. Di banyak kawasan Parlimen, BN tumbang tersungkur termasuk di Puncak Borneo dan di Lubuk Antu di Sarawak.
“Begitu kuat kesan Revolusi Demokrasi. Ia seperti ombak besar yang memukul pantai. Rakyat menyambut kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 bagaikan mengecapi suatu kemerdekaan nasional dari belenggu kuasa kuku besi yang mencengkam selama ini. Terasa lega dan kesyukuran. Satu kemenangan “Peoples Power”,” katanya.
Kemenangan itu juga menurut Hassan memberi harapan kepada pembebasan tokoh reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.
Anwar dibebaskan seminggu selepas kemenangan bersejarah Pakatan Harapan (PH).
“Pada PRU 14 rakyat ingin melihat, jika BN tumbang maka Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara. Harapan itu menjadi kenyataan.
“Sebuah kerajaan baru terbentuk menggantikan BN. Kerajaan PH menjadi kenyataan.
“Selama 61 tahun sejak Merdeka, BN menjadi pemerintah Kerajaan Persekutuan. Namun ia boleh dikalahkan. Perubahan boleh dilakukan. Satu sejarah baru terukir. Bahawa tidak ada sesuatu yang mustahil,” katanya.
Berikutan kemenangan itu, hal yang paling penting, tambah Hassan, ialah kebebasan agensi penguatkuasaan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan sebagainya yang boleh menjalankan tugas tanpa diganggu arahan politik.
Kebebasan itu, menurut Hassan menyaksikan Najib dan beberapa pemimpin BN didakwa di mahkamah.
“Revolusi demokrasi ini bererti revolusi sosial. Rakyat dapat melihat bekas Perdana Menteri Najib Razak ditangkap; Menteri dan Timbalan Menteri ditangkap; Pengerusi Felda ditangkap; Pengerusi Tabung Haji ditangkap, First Lady isteri bekas Perdana Menteri juga ditangkap.
“Mereka disoalsiasat, diheret ke mahkamah dan didakwa mengikut lunas undang-undang. Satu kemenangan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Namun panas tidak sampai ke petang, revolusi demokrasi digulingkan oleh pemimpin yang tamak dan korup.
PH berkuasa selama 22 bulan dan kemudian saki baki rejim kleptokrat mengambilalih semula pemerintahan.
Oleh itu, rakyat tertanya tanya adakah revolusi demokfrasi akan berulang menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
“Empat tahun telah berlalu. Kini PRU 15 akan tiba tidak lama lagi. Persoalannya adakah Revolusi Demokrasi dipeti undi akan berlaku?
“Jawapan saya positif. Ya, ia akan berlaku. Kenapa?
“Kerana perjuangan menentang golongan kleptokrasi yang mencuri dan merompak wang rakyat dan negara masih belum selesai. Masih belum berakhir. Golongan Kleptokrasi ini sama ada di dalam selimut ataupun di luar selimut perlu “ditelanjangi” dan diheret ke mahkamah untuk dihakimi.
“Keajaiban mungkin berlaku lagi. Dengan izin Allah, InsyaAllah rakyat Malaysia yang patriotik akan bangkit sekali lagi menyelamatkan negara. Gelombang Revolusi Demokrasi akan berulang di peti-peti undi dalam PRU-15 ini,” katanya.
Bagaimanapun, Hasaan mengingatkan fenomena itu tidak boleh berlaku begitu sahaja tanpa dirancang dan diusahakan. Maka, katanya menjadi tugas rakyat yang cintakan tanahair untuk berusaha menjadikan harapan tersebut suatu kenyataan.