Suatu
kritikan terhadap pemimpin-pemimpin muda
Dalam satu
dua hari ini, saya berasa lemah semangat. Seorang demi seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)
bercakap bahawa Keadilan akan kalah dalam PRU15 akan datang. PH juga akan
kalah, kata mereka.
Pemimpin-pemimpin
muda Keadilan ini berhujah menggunakan data dan fakta yang disokong dengan
simulasi dan Artificial Inteligence meramalkan Keadilan akan tewas. Keadilan
mungkin hanyut dalam pilihanraya umum beberapa bulan ini, ujar mereka lagi.
Saya tidak
takut kalah. Tetapi sedih dan hampir patah hati. Ini bukan pemimpin Keadilan
yang saya kenal selama ini.
Saya bukan
budak-budak yang taksub dengan “battle
cry” “lawan tetap lawan”; “membujur lalu melintang patah”, “we never
surrender”. Namun begitu, saya menghayati slogan perjuangan tersebut. Ia bukan
kosong.
Pemimpin-pemimpin
muda sekarang ini dalam Keadilan yang melemahkan semangat kami anggota-anggota parti. Mereka ini saya
baru kenal, dalam beberapa tahun ini. Tetapi saya kenal tokoh reformasi yang
bernama Anwar Ibrahim sejak tahun 1971, kira-kira 51 tahun yang lalu. Lebih
setengah abad, sejak kami muda di zaman mahasiswa universiti. Pelik,
pemimpin-pemimpin muda sekarang yang sudah jadi ahli parlimen dan ahli Dewan
Undangan Negeri bercakap soal kalah dan tewas tetapi anggota-anggota biasa dan
para aktivis di bawah sana masih kekal menjerit, "reformasi!
reformasi!"
Sejak kalah
di beberapa piliharaya negeri, bermula Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor,saya
melihat ada di kalangan pemimpin-pemimpin muda parti yang menganggap Anwar
Ibrahim tidak lagi relevan. Tidak ada siapa nampaknya dalam Parti Keadilan
sekarang yang tampil kedepan berani mempertahankan Anwar. Pemimpin-pemimpin
muda keadilan sibuk mengatur papan dan "cai" masinh-masing.
Sedih
melihat pemimpin-pemimpin muda Parti Keadilan yang jadi YB-YB selesa
memberi “walk-over” kepada Umno/BN dalam
tempoh lima atau sepuluh tahun akan datang sebab data-data, statistik, simulasi
dan survey menunjukkan Keadilan akan kalah. Mereka lebih percaya kepada angka daripada
azam manusia. Mereka patut membaca sajak Said Zahari yang berjodol
"AZAM" yang ditulisnya dari dalam penjara ketika merengkok selama 16
tahun di Penjara Changi Singapura semasa pemerintahan kuku besi Lee Kuan Yew.
Pemimpin-pemimpin muda Keadilan yang kini jadi wakil-wakil rakyat yang selesa
itu patut memiliki antologi "Puisi Dari Penjara" karya Said Zahari.
Sepatutnya
pemimpin-pemimpin muda Keadilan yang berpelajaran tinggi, setengahnya dari
oversea, jadi vanguard di baris hadapan Keadilan dalam menghadap medan tempur.
Buanglah bendera-bendera putih itu sekarang.
Sekarang
saya lihat di kalangan pemimpin-pemimpin muda kelas elitis yang terdiri
daripada YB-YB semakin tipis dan sunyi suara-suara mereka yang berani bercakap
lagi tentang Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri Keadilan/PH dalam pilihanraya
akan datang. Semakin ramai di kalangan anggota Parti Keadilan sendiri yang
tidak yakin pada Presidennya sendiri. Mereka sibuk bersiap-siap untuk
mengambilalih tempat Anwar Ibrahim.
Inilah
kesannya kalau pemimpin-pemimpin muda terlalu taksub pada survey, data dan
statistik serta simulasi serta Artificial Inteligence.
Perjuangan
politik ini tidak hanya bergantung pada survey, statistik dan data. Benar,
survey, statistik dan data itu penting dalam pilihanraya. Tetapi ingat Parti
Keadilan Rakyat ini adalah sebuah parti perjuangan. Ia sebuah pergerakan
rakyat. “Core business” Parti Keadilan bukan setakat memenangi pilihanraya.
Rakyat
sekarang susah sengsara. Negara sedang menuju malapetakan kebangkrapan angkara
rasuah dan penyelewengan kewangan. Rakyat tak mampu beli makanan yang semakin
hari semakin mahal harganya. Kerana itu bolehkah Parti Keadilan kena tunggu dua
kali pusingan pilihanraya umum lagi baru boleh bercakap untuk berkuasa di
Putrajaya?
Perjuangan
Parti Keadilan ialah mengangkat wadah reformasi. Wadah perjuangan rakyat. Biar
kalah bagaimanapun, semangat perjuangan tetap membara dan mesti sentiasa
menyala.
Inilah
kelebihan Parti Keadilan. Ketika ini Parti ini dipimpin oleh Presidennya yang
tabah, cekal dan tabah. Jangan dicurah air sejuk kepada semangat anggota parti
yang ingin berjuang menentang segala bentuk ketidakadilan, pancaroba dan
dugaan.
Jangan
bercakap soal kalah. Saya sebagai seorang ahli politik kecilan di peringkat
bawah ini, yang daif berkali-kali menghadapi kekalahan dalam pilihanraya, tidak
pernah putus semangat dan mengibarkan bendera putih.
Saya
menyertai Parti Keadilan Rakyat kerana semangat perjuangan pemimpin-pemimpinnya
yang kental.
Setakat ini
saya melihat Anwar Ibrahim telah menang bertanding sebagai Presiden Keadilan
tanpa dicabar. Ia menunjukkan sokongan terhadap Anwar Ibrahim di dalam parti
tidak berbelah bahagi. Anggota parti parti padu menyokong Anwar Ibrahim.
Tetapi kalau
ramai pemimpin-pemimpin muda Keadilan berpangkat YB-YB kelas tinggi sudah segan silu menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim
sebagai calon Perdana Menteri Keadilan/PH dalam Pilihanraya Umum-15, biarlah
saya yang tua muka tebal tak tahu malu
ini tetap menyuarakan Presiden Parti Keadilan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Saya tidak
malu bercakap bahawa saya ingin melihat sahabat seangkatan saya sejak muda,
individu bernama Anwar Ibrahim yang saya percayai akan menjadi Perdana Menteri
Malaysia satu hari nanti. Jika saya gembira rakan serumah saya Ismail Sabri
Yaakob, semasa muda-muda dulu, menjadi Perdana Menteri sekarang maka mengapa
saya tidak boleh memasang impian melihat giliran Anwar Ibrahim pula menjadi
Perdana Menteri?
Banyak kali
saya telah cakap, dan saya ulangi lagi bahawa saya bukan macai atau pentaksub
kepada Anwar Ibrahim. Tetapi tokoh ini saja yang saya percaya boleh memimpin
kita menghadapi Umno/BN dalam pilihanraya akan datang.
Kalau kerana
itu kita dituduh terlalu taksub dengan merebut kuasa, saya tidak apologetik. Saya kata
"Ya" perjuangan politik Parti Keadilan ialah untuk merebut kuasa di
Putrajaya. Kita berkuasa untuk menyelamatkan Malaysia yang punah rosak sekarang
ini. Parti keadilan adalah sebuah wadah perjuangan.
Saya mohon
kepada anggota dan para pemimpin Keadilan sendiri, bukan dari parti-parti lain
dalam PH atau di luar PH, tetapi anggota dan pemimpin Keadilan sendiri,
terutama pemimpin-pemimpin muda supaya memberi sokongan teguh kepada Anwar
Ibrahim untuk beliau sekali lagi memimpin kita dalam pilihanraya umum. Kali
inilah, mungkin kali terakhir kita bersama pemimpin kita Anwar Ibrahim, kita
bersama-sama laksanakan cogan kata “lawan tetap lawan”, “membujur lalu
melintang patah” dan “We never surrender” dalam menghadapi PRU-15 akan datang.
Kalau, dan
kalau sekiranya dalam Pilihanraya Umum ke-15 akan datang, Parti Keadilan Rakyat
kalah juga, dan kalah teruk pula, maka
saya berjanji, saya akan menasihati Anwar Ibrahim supaya beliau berundur dari
memimpin parti. Kalau ketika itu Anwar Ibrahim enggan berundur, degil dan liat
melepaskan jawatannya, maka saya yang daif dan kecil ini akan mencabar Anwar
Ibrahim bagi jawatan Presiden Parti dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat
selepas PRU-15 nanti, itupun kalau saya masih bernyawa.
Tetapi buat
masa yang penting dan genting kini, bulatkanlah tekad kita bersama Presiden
kita Anwar Ibrahim menghadapi pilihanraya umum yang bakal tiba beberapa bulan
sahaja lagi dengan azam yang penuh semangat dan berani. Buang dari minda kita
sebarang lintasan fikiran mengaku kalah dan menyerah.
Kita ulang
sekali lagi di sini, cogankata perjuangan Parti Keadilan, “Kita Berani
Berjuang, maka Kita Berani Menang!”
Hassan Abdul
Karim
Ahli
Parlimen Pasir Gudang
15 April
2022 (Jumaat)