Martabat Islam: Hadi tanya, Hadi perlu jawab


Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memasuki gelanggang PRN Johor dengan peringatan bahawa umat Islam Malaysia masih dilanda masalah besar – pemikiran yang dijajah. Fenomena ini menyebabkan mereka keliru dan sukar memahami cabaran sebenar yang dihadapi ummah dan kurang bijak memahami punca dan cara menanganinya. Hadi mengingatkan bahawa umat Islam mesti memahami dan akur bahawa tujuan asas para nabi dan rasul diutus kepada manusia bermatlamat:

“Dialah (Allah) yang mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam) agar Dia memenangkannya ke atas segala agama-agama yang lain; meskipun orang Musyrik membenci.” (Surah al-Saff: 9)

Hakikat ini digiring dengan sabda Rasulullah:

“Islam itu tinggi, dan tiada ajaran yang dianggap lebih tinggi daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari 1399 dan al-Daraqutni 3620)

Hadi berpandangan bahawa Islam itu wajib dimuliakan mengatasi segala agama, ideologi dan ajaran yang lain, sehingga Islam berkuasa memerintah dalam sebuah negara berdaulat.

Bahkan, hakikat ini, katanya, harus meliputi seluruh kehidupan manusia dan segala urusannya, kerana hanya Islam adil untuk semua.

“Inilah Islam yang diwahyukan kepada para anbiya’ yang berakhir dengan Nabi Muhammad. Inilah juga Islam yang datang ke Nusantara apabila ia dianuti oleh negara dan rakyat.

“Sebarang undang-undang dan peraturan yang bercanggah dengan Islam adalah terbatal dengan sendirinya,” kata Hadi. Mesej ini dilebarkan melalui media rasmi partinya Harakah Daily.

Justeru, katanya, para sultan dan raja-raja Islam, ulama dan rakyat berkongsi tanggungjawab mempertahankan kedudukan Islam yang diletakkan pada kedudukan yang tinggi.

“Mereka menentang penjajah dengan harta dan jiwa raga mereka, walaupun perjuangan itu memakan masa dan beberapa generasi lamanya,” tegas Hadi.

Sebab itu sejak lebih setengah abad lalu, Perlembagaan mengiktiraf Islam agama Persekutuan, tegasnya.

Beliau berhujah apabila Malaysia mencapai kemerdekaan sepatutnya umat Islam sendiri mentafsirkan perlembagaan negara dalam bahasa mengikut kefahaman agama ummah.

“Kini terserlah bahawa agama Islam yang dikatakan di bawah naungan raja-raja melalui pentadbiran khusus, yang dinamakan Majlis Agama Islam tidak boleh bertindak mengatasi undang-undang ciptaan manusia.

“Bahkan, hukum yang nyata daripada hukum Islam boleh dibatalkan oleh mahkamah dan para hakimnya,” hujah Hadi.

Presiden PAS itu berkata, ini berlaku kerana istilah agama dan Islam ditafsirkan dari Bahasa Inggeris bermaksud “religion”, bukan dengan makna “al-din” mengikut Bahasa Al-Quran.

Perkataan “al-din” bermaksud ajaran agama yang luas dan sempurna dalam semua perkara yang diberikan peranan oleh Allah pencipta alam kepada semua makhluknya, termasuklah kalangan manusia. Lantas Hadi mengingatkan maksud mesej surah Ali Imran ayat 83:

“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari agama selain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nya jualah tunduk dan taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada secara sukarela mahupun terpaksa, dan kepada-Nya jualah mereka dikembalikan.”

Mesej Hadi ialah pemikiran ummah masih dijajah dalam memahami erti kemerdekaan sebenar. Oleh itu beliau menokok ayat 21 surah As Syura:

“Patutkah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah mereka (yang berbuat demikian) akan dibinasakan. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Apakah sebenarnya maksud Hadi? Mengapa timbulkan soal kejahilan dan pemikiran ummah yang terjajah ini menjelang PRN Johor?

Bukankah PAS telah meletakkan orang alim undang-undang dan perlembagaannya sebagai Menteri yang mengurus soal undang-undang hampir dua tahun lalu? Apa yang sudah dilakukan membanteras penjajahan ini?

Namun paling menarik ialah cara Hadi menutup hujahnya dalam isu ini. Hadi mencabar:

“Maka, perjuangan umat Islam belum selesai lagi, selagi Islam tidak dimuliakan setinggi-tingginya. Setiap golongan yang beriman percaya bahawa kemuliaan umat Islam tetap ada selagi mereka bersama Islam.

“Di manakah raja-raja, para ulama’ dan rakyat yang beriman? Ingatlah firman Allah:

“…Katakanlah: ‘Kesenangan di dunia ini hanya sebentar sahaja dan (balasan) di akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa, dan kalian pula tidak akan dianiaya sedikit pun. Di mana sahaja kalian berada, kematian akan mendapatkan kalian, sekalipun kalian berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh…” (Surah al-Nisa’: 77-78)

Sesungguhnya peringatan Hadi ini mengerikan. Bagaimanakah umat Melayu mahu memutuskan rantai penjajahan ini?

Adakah ini suatu keinsafan atau Hadi baru tersedar bahawa PRN Johor sudah terlalu dekat dan rekod PAS tidak menunjukkan kemajuan tuntas meletakkan Islam di persada tertinggi?