Pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan
dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah sesuatu yang baik bagi tujuan
mencegah penularan Covid-19 meskipun ada beberapa perkara yang tidak selari
dengan semangat demokrasi sempena PRN ini.
Namun, pelaksanaan penguatkuasaan secara terpilih adalah amalan
yang tidak bertanggungjawab dan akan menghakis keyakinan orang ramai terhadap
peraturan yang dibuat.
Terbaru adalah tindakan mendenda wartawan yang dikatakan tidak
mematuhi penjarakan sosial semasa wartawan tersebut menjalankan tugas adalah
sesuatu yang menimbulkan kegusaran di kalangan pengamal media terutamanya
wartawan di lapangan.
Saya menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri
Annuar Musa yang begitu menekankan soal SOP kepada petugas media supaya berlaku
adil dan memebuat teguran serupa kepada Barisan Nasional yang secara
terang-terangan melanggar peraturan yang digariskan SPR pada hari penamaan
calon.
Seringkali kita melihat bagaimana pihak kerajaan khususnya para
Menteri menasihatkan rakyat mematuhi SOP tetapi di kalangan mereka sendiri
secara terbuka melanggar peraturan yang dibuat.
Justeru, saya juga menggesa tindakan yang sama dikenakan kepada
penyokong BN yang berada di kawasan Pusat Penamaan Calon DUN Mahkota di Dewan
Serbaguna Taman Sri Kluang yang telah berhimpun dan berarak di kawasan
tersebut.
Meskipun sudah diberi teguran namun kumpulan ini langsung tidak
mengendahkan dan terus berkumpul tanpa penjarakan sosial. Ini jelas telah
melanggar SOP yang digariskan oleh SPR.
Sewajarnya tindakan sama perlu dibuat kepada kumpulan ini
seperti mana yang dikenakan kepada wartawan yang didenda hari ini.
TAQIUDDIN CHEMAN
Calon Pakatan Harapan
N.29 Mahkota