Walaupun beberapa pemimpin utama UMNO, terutama Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sudah kerapkali mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran i-Citra berjumlah RM10 ribu daripada KWSP, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akhirnya bertegas menolak perkara tersebut.
Sebelum ini, desakan yang sama telah beberapa kali diutarakan kepada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, namun beliau juga turut menolaknya.
Ketika banjir melanda sekarang ini di mana ramai yang terkesan dengan rumah tenggelam, perabot musnah dan macam-macam kesengsaraan lain lagi yang dihadapi, tuntutan terhadap i-Citra itu semakin kuat dan ia dirasakan suatu keperluan yang tidak boleh diabaikan begitu saja.
Namun, dengan menolak tuntutan tersebut dan sepertinya ini adalah keputusan yang muktamad kerajaan, Ismail Sabri nampaknya lebih mendengar nasihat Tengku Zafrul berbanding melayan permintaan UMNO.
Agaknya Ismail Sabri fikir, yang meletakkannya sebagai Perdana Menteri ialah Tengku Zafrul dan bukannya UMNO!!
Dalam menolak tuntutan i-Citra itu, Ismail Sabri berhujah, kerajaan sudah menyediakan pelbagai bantuan kewangan kepada syarikat dan individu bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir.
“Kalau beri alasan nak buka perniagaan baru kerana terjejas banjir, TEKUN sudah tawar RM10,000, pinjaman mudah tanpa faedah dan moratorium tak perlu bayar setahun.
“Bank seperti BSN juga ada beri pinjaman RM10,000 secara pinjaman persendirian untuk beli barangan keperluan asas rumah dengan tanpa faedah dan enam bulan moratorium,” katanya lagi.
Ternampak dalam hal ini, Ismail Sabri tidak begitu faham kesusahan yang rakyat sedang alami sekarang.
Membenarkan pengeluaran i-Citra bermakna rakyat menggunakan wang simpanan atau caruman mereka sendiri dalam KWSP untuk keperluan yang sedang mendesak ketika ini.
Meski difahami, caruman KWSP adalah simpanan untuk hari tua, tetapi apa guna ia disimpan begitu saja jika di ketika belum tua lagi mereka sudah susah dan hampir nak mati meneruskan kehidupan?
Bukankah lebih baik caruman yang sepatutnya untuk hari tua itu digunakan sebahagiannya dahulu untuk menampung masalah kehidupan yang sedang melanda sewaktu belum tua?
Lagi pula, bagi mereka yang bekerja, mereka akan terus mencarum lagi dalam KWSP sehingga berusia 55 tahun, walaupun setelah dibenarkan mengeluarkan wang RM10 ribu.
Akhirnya, wang RM10 ribu akan terganti dengan sendirinya.
Jadi, apa masalahnya?
Berbanding idea menggalakkan rakyat meminjam dengan TEKUN atau BSN, juga dengan jumlah RM10 ribu, meski tanpa faedah tetapi jumlah RM10 ribu yang dipinjam itu tetap perlu dibayar.
Sudahlah rakyat sekarang dalam kesusahan akibat banjir, cerdikkah kita ada Perdana Menteri yang menyuruh mereka menambah hutang lagi?
Di mana pertimbangan Ismail Sabri dalam ini?
Janganlah beliau ingat bantuan RM1000 yang diumumkannya kepada mangsa banjir sebelum ini mencukupi untuk mangsa banjir membina semula kehidupan, membaiki rumah, mengganti perabot, peralatan letrik dan macam-macam hal yang lain.
Kalau dibenar mengeluarkan RM10 ribu daripada KWSP itu, setidak-tidaknya bernafaslah juga mereka untuk hidup selepas ini.
Tetapi, kalau meminjam dengan TEKUN atau BSN, selain pelbagai hutang sedia ada tetap menunggu, kini ditambah lagi dengan hutang baru yang akan terus membebankan kehidupan rakyat, bukan saja lebih lama, malah mungkin selama-lamanya.
Perdana Menteri jenis apa yang kita ada ini sebenarnya? – ShahbudinHusin 27/12/2021.