KOTA KINABALU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim tidak bimbang berlaku perebutan kerusi antara PKR dan DAP menjelang pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, perbincangan masih berterusan untuk mengelak berulang kejadian pada 2016 apabila perebutan kerusi dilihat menjadi faktor kegagalan gabungan itu dalam PRN tahun berkenaan.
“Saya rasa itu bukan masalah besar, ada sedikit pertindihan namun itu sedang dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya PKR Sarawak di Kuching hari ini.
Disoal sama ada beliau yakin pakatan itu mampu mengelak keputusan mengecewakan lagi dalam PRN kali ini, beliau berkata: “Saya tidak rasa akan berlaku sebarang pertindihan.”
Selain perbincangan mengenai kerusi, katanya, parti PH di Sarawak juga dalam perbincangan akhir berhubung calon, dengan pengumuman dijangka dibuat tidak lama lagi.
Presiden Amanah Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata kekalahan PH di PRN Sarawak lima tahun lalu disebabkan perebutan kerusi yang bertindih antara DAP dan PKR, selain pemimpin utamanya dilarang memasuki negeri itu untuk berkempen.
Anwar juga berkata senarai calon diteliti untuk memastikan mereka yang dipilih setia dengan perjuangan gabungan itu.
“Kami mencuba sedaya upaya tetapi ada kalanya godaan wang dan pangkat boleh mengganggu. Namun kami akan memastikan itu tidak berlaku kali ini,” katanya.
Berhubung kerjasama PH dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB), Anwar berkata, perkara itu masih dalam perbincangan.
Awal bulan ini, Bernama melaporkan perbincangan mengenai kerjasama antara PH dan PSB dalam PRN ke-12 Sarawak telah ditangguhkan akibat pertindihan untuk kerusi yang bakal dipertandingkan.
Pemangku Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, parti komponen PH tidak akan memasuki perjanjian untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain di negeri itu buat masa ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertemu di di Kuching pada 24 Nov untuk membincangkan tarikh PRN Sarawak.
Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 3 Nov susulan Yang di-Pertuan Agong memperkenan membatalkan Darurat di negeri itu, seterusnya membuka jalan untuk PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.