KEADILAN teruskan sesi libat urus bersama anak muda profesional

 

Sesi libat urus bersama anak muda profesional diteruskan bagi mendengar pendapat bernas dalam era pasca pandemik dan ke arah memperbaiki ekonomi, pentadbiran dan sosial pada masa hadapan.


Sehubungan itu, satu dialog diadakan antara Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekumpulan 30 profesional yang berumur 20-40an di Ibu Pejabat KEADILAN, semalam.


Menurut Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad, dialog tersebut berjaya menghimpunkan perserta dari kalangan pemilik perniagaan, peguam, doktor, eksekutif korporat dan pelbagai kerjaya lain untuk sesi sumbang saran secara terbuka.


"Pertemuan ini sebahagian daripada usaha berterusan KEADILAN mendengar pendapat anak muda serta memahami aspirasi dan idea mereka tentang kaedah memajukan negara.


"Semasa sesi perbincangan, mereka membawa pelbagai isu kepada kami, termasuklah masalah gaji rendah dan integriti wakil rakyat.


"Mereka juga mengetengahkan pandangan tentang bagaimana KEADILAN dan PH boleh kekal responsif terhadap kebimbangan utama pengundi Malaysia," katanya.


Bagi pihak KEADILAN, kata Nik Nazmi, parti itu tetap akan memberikan dokongan kepada budaya inklusif masyarakat majmuk dan mengutamakan perjuangan reformasi sistem di negara ini.


Katanya, parti akan sentiasa memberi ruang dan peluang kepada anak muda dalam menyampaikan pandangan terutama di ruang media sosial yang dicetuskan oleh penggiat KEADILAN.


"Kami memberi penekanan tentang komitmen yang tidak akan goyah terhadap agenda inklusif dan berasaskan reformasi; yang telah menyaksikan KEADILAN muncul sebagai parti berbilang kaum paling berjaya dalam sejarah Malaysia.


"Kami juga menekankan parti akan terus melibatkan orang ramai melalui acara fizikal dan dalam talian termasuk melalui aplikasi media sosial seperti Clubhouse dan Twitter Spaces pada masa hadapan.


"Kami percaya acara seperti hari ini adalah satu kewajipan untuk parti politik seperti KEADILAN untuk melihat keperluan rakyat dan mencari jalan dan cara menegakkan kepentingan mereka," katanya lagi.


Turut terlibat ialah Bendahari KEADILAN, Lee Chean Chung dan Pengerusi Biro Profesional Belia KEADILAN, Seah Jhen Pei.