Sesi libat urus bersama anak muda profesional diteruskan bagi
mendengar pendapat bernas dalam era pasca pandemik dan ke arah memperbaiki
ekonomi, pentadbiran dan sosial pada masa hadapan.
Sehubungan itu, satu dialog diadakan antara Presiden KEADILAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekumpulan 30 profesional yang berumur 20-40an di
Ibu Pejabat KEADILAN, semalam.
Menurut Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad,
dialog tersebut berjaya menghimpunkan perserta dari kalangan pemilik
perniagaan, peguam, doktor, eksekutif korporat dan pelbagai kerjaya lain untuk
sesi sumbang saran secara terbuka.
"Pertemuan ini sebahagian daripada usaha berterusan KEADILAN
mendengar pendapat anak muda serta memahami aspirasi dan idea mereka tentang
kaedah memajukan negara.
"Semasa sesi perbincangan, mereka membawa pelbagai isu kepada
kami, termasuklah masalah gaji rendah dan integriti wakil rakyat.
"Mereka juga mengetengahkan pandangan tentang bagaimana
KEADILAN dan PH boleh kekal responsif terhadap kebimbangan utama pengundi
Malaysia," katanya.
Bagi pihak KEADILAN, kata Nik Nazmi, parti itu tetap akan
memberikan dokongan kepada budaya inklusif masyarakat majmuk dan mengutamakan
perjuangan reformasi sistem di negara ini.
Katanya, parti akan sentiasa memberi ruang dan peluang kepada anak
muda dalam menyampaikan pandangan terutama di ruang media sosial yang
dicetuskan oleh penggiat KEADILAN.
"Kami memberi penekanan tentang komitmen yang tidak akan
goyah terhadap agenda inklusif dan berasaskan reformasi; yang telah menyaksikan
KEADILAN muncul sebagai parti berbilang kaum paling berjaya dalam sejarah
Malaysia.
"Kami juga menekankan parti akan terus melibatkan orang ramai
melalui acara fizikal dan dalam talian termasuk melalui aplikasi media sosial
seperti Clubhouse dan Twitter Spaces pada masa hadapan.
"Kami percaya acara seperti hari ini adalah satu kewajipan
untuk parti politik seperti KEADILAN untuk melihat keperluan rakyat dan mencari
jalan dan cara menegakkan kepentingan mereka," katanya lagi.
Turut terlibat ialah Bendahari KEADILAN, Lee Chean Chung dan
Pengerusi Biro Profesional Belia KEADILAN, Seah Jhen Pei.