Pakatan Harapan (PH) masih belum memutuskan nasib tiga bekas ADUN
Umno dan Bersatu yang menumbangkan pentadbiran Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali,
biarpun Datuk Norhizam Hassan Baktee telah ditolak bertanding menggunakan tiket
PH.
Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim perbincangan masih
diadakan oleh PH Melaka dalam memutuskan nasib mereka mengambil kira usaha
ketiga-tiga bekas ADUN itu dalam mengembalikan mandat rakyat kepada PH.
"Satu dah (ditolak), tinggal tiga. Kita masih dalam peringkat
akhir. Kita kena jelaskan juga kedudukan ini.
"Pimpinan PH Melaka bincang dengan mereka, minta kerjasama
mereka. Mereka mengambil keputusan menyokong PH dan memulihkan mandat kepada PH
yang dirampas atau dikhianati sebelumnya.
"Sekarang kita ada masalah untuk menolak begitu sahaja
sebagaimana yang diharapkan dalam media sosial. Itu tidak tepat sebab dia
sokong untuk kembalikan mandat kita," katanya ketika menjawab pertanyaan
wartawan di majlis sumbangan bakul makanan sempena Deepavali, di Port Dickson,
pagi tadi.
Menurut Anwar, faktor ketiga-tiga bekas ADUN tersebut sanggup
dipecat dari parti asal mereka perlu diambil kita sebelum keputusan dibuat.
"Kedua persefahaman mereka untuk bersama (PH). Kalau mereka
umpamanya ambil keputusan, mereka dah jangka akan dipecat oleh Umno atau
Bersatu. Jadi demikian kita nak ketepikan begitu sahaja, tidak bholeh.
"Saya terpaksa bincang dengan kepimpinan PH di Melaka untuk
mengambil kira hal ini sebelum sebelum buat keputusan.
"Tetapi saya kurang bersetuju jika orang longgokkan mereka
sebagai kumpulan Langkah Sheraton umpamanya. Ini mereka nak kembalikan amanah
kepada PH. Itu pertimbangan kita," kata Anwar lagi