Pemimpin Umno dedah kenapa Bersatu beriya-iya nak Pas guna logo PN

 


Panas! Pemimpin Umno dedah kenapa Bersatu beriya-iya nak Pas guna logo PN


Pada PRU-14, PAS telah mendapat lebih kurang 15 peratus undi Melayu di Melaka.

Oleh kerana faktor Dr Mahathir, PH pula telah mendapat 20 peratus undi Melayu, bertambah 10 peratus daripada undi Melayu yang diperoleh oleh PH berbanding pilihanraya-pilihanraya sebelum ini di Melaka.

UMNO dan Barisan Nasional telah mendapat 65 peratus undi Melayu di Melaka pada PRU-14.

PH (dan PPBM) telah menang kerana mereka telah memecahkan 10 peratus undi Melayu atas, dan dengan sokongan solid daripada hampir semua undi bukan Melayu terutama undi Cina mereka telah berjaya mengalahkan Barisan Nasional.

Kebanyakan daripada 10 peratus undi Melayu yang dipecahkan oleh PPBM/PH di atas adalah asalnya pengundi Barisan Nasional (BN); dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini BN telah mendapat lebih kurang 70-75 peratus undi Melayu di Melaka berbanding 65 peratus semasa PRU-14.

Kali ini PPBM ingin menggunakan formula yang sama, iaitu dengan sekali lagi memecahkan sekurang-kurangnya 10 peratus undi Melayu tersebut daripada Barisan Nasional (BN) supaya BN tidak boleh menang pilihanraya walaupun ia bermaksud PH kembali berkuasa.

Apa yang dibuat oleh PPBM di PRN Melaka kali ini samalah seperti apa yang mereka telah buat pada PRU-14 yang lepas, tugas mereka ialah memecahkan undi Melayu untuk memenangkan PH.

Namun kali ini mereka (PPBM) tentunya tahu kebarangkaliannya mereka tidak boleh menang apa-apa kerusi hanya dengan memecahkan 10 peratus undi Melayu tersebut.

Dan kali ini belum tentu mereka akan dapat kembali 10 peratus undi Melayu yang mereka pecahkan dahulu dan besar kebarangkalian mereka akan hilang undi ini sebab Dr Mahathir tidak lagi bersama mereka (PPBM) dan mereka tidak ada akar umbi untuk meraih 10 peratus pengundi Melayu ini lagi.

Sebab itu kini mereka (PPBM) memerlukan PAS untuk menarik 15 peratus undi Melayu PAS kepada mereka pula dan menjadi akar umbi mereka.

Dan kali ini cita-cita mereka (PPBM) adalah lebih besar lagi, iaitu bukan sahaja mereka mahu memecahkan undi Melayu supaya Barisan Nasional tidak menang, namun mereka (PPBM) juga mahu cuba menang beberapa kerusi waima dua atau tiga kerusi supaya mereka boleh jadi penentu atau “kingmaker” jika tiada mana-mana parti mendapat majoriti kelak.

Namun demikian, walaupun pemecahan 15 peratus undi Melayu tersebut mungkin boleh menggugat supaya Barisan Nasional tidak menang, tetapi ianya tidak cukup untuk mereka (PPBM atau PAS) menang apa-apa kerusi.

Ini terbukti apabila dengan 15 peratus undi Melayu pada PRU-14 yang lepas pun PAS tidak menang apa-apa kerusi di Melaka, manakala PPBM hanya menang dua kerusi, itupun dengan sokongan undi bukan Melayu terutama undi Cina dengan bantuan PH, tetapi kali ini pengundi Cina PH tidak akan bantu mereka lagi.

Untuk mereka (PPBM) menang apa-apa kerusi dengan hanya sokongan 15 peratus undi Melayu dari PAS, mereka tahu mereka perlukan sokongan dari undi Cina dan India.

Namun mereka juga tentunya tahu bahawa pengundi-pengundi Cina dan India tidak akan sokong PAS, terutama apabila mereka nampak bendera PAS bersama PPBM dalam PN.

Mereka tentunya telah fikir yang lambang bulan PAS di atas kertas undi hanya akan menakut-nakutkan pengundi Cina, India dan bukan Islam oleh itu akan mengecilkan peluang mereka untuk meraih undi bukan Melayu dan menang apa-apa kerusi.

Untuk menyelesaikan masalah ini, mereka (PPBM) dan Muhyiddin tentunya telah buat keputusan dan mengarahkan PAS supaya menggunakan lambang dan logo Perikatan Nasional dan meninggalkan bendera dan lambang tradisi PAS iaitu bulan dalam pilihanraya ini; samalah seperti apabila PH menggunakan lambang PKR dalam PRU-14 supaya pengundi Melayu tidak nampak lambang roket DAP.

Strategi memecah-belahkan undi Melayu mereka ini amat licik.

Namun kali ini ia akan memakan diri mereka (PPBM/PN) kerana besar kemungkinan orang-orang bukan Melayu tidak akan mengundi PPBM/PN kerana pengkhianatan yang mereka telah lakukan apabila mereka (PPBM) menjatuhkan kerajaan PH semasa Langkah Sheraton dahulu.

Dan orang-orang Melayu yang biasanya mengundi PAS dan tidak mengundi PH/PPBM dalam PRU-14 lepas pula kali ini tidak nampak lambang bulan di peti undi lantas tidak mengundi mereka jua.

Apabila ini berlaku, yang mereka (PN) kejar (undi Cina dan India) tidak dapat, yang dikendong (undi Melayu) berciciran. Dan yang paling rugi adalah PAS dan orang-orang Melayu yang percaya kepada PPBM ini.

Saya lihat UMNO iaitu rakan Muafakat Nasional PAS tidak mahu lihat PAS terjebak dalam perangkap PPBM ini.

Ianya masih belum terlambat untuk membuat keputusan yang baik dan bijak.

Sebab itu kita cadangkan supaya PAS guna sahaja bendera dan lambang tradisi mereka iaitu lambang bulan yang berpuluh tahun lamanya dikibarkan dalam perjuangan mereka daripada disimpan sahaja dalam almari.

Sekurang-kurangnya dengan menggunakan lambang dan bendera sendiri ini mereka (PAS) akan meningkatkan kebarangkalian untuk mengekalkan jumlah pengundi Melayu yang mengundi mereka dahulu dengan lebih bermaruah.


No comments: