By Wartawan MalaysiaGazette - 20 October 2021
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan
(AMK) Sabah mengecam tindak-tanduk pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti
Tian Chua dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang didakwa terlalu
mengagungkan keempat-empat ahli dewan undangan negeri pengkhianat sehingga
menimbulkan rasa jijik dan marah rakyat terhadap parti ini dan Pakatan Harapan
(PH).
Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin berkata, sejak berlakunya
krisis politik Melaka, PH sering terpalit dengan tuduhan menjadi punca krisis
politik di negeri itu walaupun langkah pengkhianatan itu dilakukan oleh ahli
dewan undangan negeri (ADUN) dari UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
dan bebas.
Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri
Melaka, Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan
(UMNO-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk
Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Tegasnya, tindakan mengagungkan empat ADUN ini menyebabkan
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan gelojoh
serta melanggar perjanjian sefahaman yang ditandatangani antara pihak kerajaan
dan pemimpin PH..
Menurut beliau, PKR sepatutnya menjauhkan diri dari kelompok
mereka yang mempunyai agenda politik peribadi tanpa mengambil peduli situasi
semasa apatah lagi negara sedang berusaha keluar dari pandemik Covid-19.
Bahkan, katanya, sekutu PKR dalam PH
iaitu DAP juga dilihat kurang senang dengan tindakan mengagungkan Norhizam yang
sifatkan sebagai jijik memandangkan Norhizam merupakan bekas ADUN DAP yang
menjadi salah seorang punca tumbangnya kerajaan PH Melaka.
”Bagi AMK, tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip
perjuangan PKR serta menghina pejuang parti.
”Oleh itu akar umbi menolak sebarang usaha sama ada menerima
permohonan mereka menyertai PKR atau menjemput mereka menyertai parti ini,”
katanya dalam kenyataan di sini.
Razeef menambah, akar umbi juga menolak
sekiranya ada di antara empat bekas ADUN ini diangkat sebagai calon sekutu sama
ada dalam PH mahupun bebas.
Sebaliknya, tegas beliau, kesemua kerusi DUN di negeri Melaka
perlu ditandingi oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) mengikut agihan
kerusi.
”Jika pemimpin-pemimpin PKR masih mengagungkan keempat-empat
pengkhianat ini, kita tidak menolak kemungkinan penolakan rakyat terhadap PKR
dan PH kerana jelas telah menghina prinsip yang diperjuangkan,” tegasnya.