Lebih banyak cukai hanya takutkan pelabur, kata ahli ekonomi

 


Ahli ekonomi berpendapat pembaharuan cukai, sama ada CGT atau GST, harus ditangguhkan sehingga ekonomi pulih.

PETALING JAYA: Pengenalan cukai keuntungan modal ke atas jual beli saham (CGT) dan cukai luar jangka untuk syarikat yang mencatatkan keuntungan kukuh ketika pandemik hanya akan menakutkan pelabur, kata dua ahli ekonomi.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata, ia akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan pelabur dan syarikat memandangkan persekitaran perniagaan serta pelaburan ketika ini “sangat rapuh” disebabkan pandemik Covid-19.

“Pembaharuan cukai, sama ada CGT atau GST, harus ditangguhkan sehingga ekonomi pulih. Tidak ada pertikaian mengenai cukai baharu buat masa sekarang,” katanya.

“Hasil cukai luar jangka tidak begitu membantu dalam meningkatkan pendapatan. Ia juga bersifat sekali gus dan tidak membawa banyak perubahan. Ini lebih kepada ‘cukai dengki’ sahaja.”

Sambil menggelar cukai luar jangka sebagai “khayalan”, Williams berkata, selain syarikat pembuat sarung tangan dan syarikat yang mendapat manfaat daripada aktiviti berkaitan pandemik Covid-19, tidak ada “sasaran” lain untuk menjana lebihan keuntungan.

Williams juga berkata, hakikat bahawa Malaysia tidak mengamalkan CGT dilihat sebagai satu kelebihan yang dimilikinya berbanding pesaing lain di rantau ini dan perubahan terhadap dasar itu tidak akan membantu sentimen pelaburan.

Katanya, pasaran saham Malaysia adalah antara pasaran yang menunjukkan prestasi terburuk di rantau ini dengan penurunan sebanyak 6% dalam tempoh separuh tahun pertama tahun ini berbanding Vietnam dan Taiwan yang kedua-duanya berkembang 20% manakala Korea Selatan dan Australia pula mencatatkan pertumbuhan 10%.

“Jadi cukai tambahan tidak disarankan ketika ini,” katanya memberi amaran.

“CGT tidak akan menghentikan aliran keluar dan prospek terhadap pelaksanaan cukai itu akan menyebabkan pelabur, terutamanya pelabur asing akan berwaspada terhadap pasaran di Malaysia.”

Sementara itu, Goh Lim Thye, pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya (UM) berkata, usaha meyakinkan syarikat yang berkembang ketika pandemik untuk bersetuju dengan pelaksanaan cukai luar jangka itu mungkin sukar dilakukan.

Goh juga berkata, kerajaan tidak boleh menolak bahawa ramai pelabur yang akan mempunyai portfolio saham dan memperolehi keuntungan daripada satu saham, mungkin menggunakannya untuk menampung kerugian dalam pelaburan lain.

“Bagaimana kita ingin memastikan bahawa cukai ini (CGT) dilaksanakan secara adil? Ia agak sukar,” katanya.

Beliau turut menggesa pembuat dasar supaya menjalankan analisis trend terhadap prestasi syarikat sebelum membuat keputusan terhadap kadar cukai luar jangka selain menegaskan langkah itu penting kerana perbincangan perlu dilakukan antara firma sebelum mencapai persetujuan bagi pelaksanaannya.

“Mereka perlu berbincang dengan syarikat-syarikat ini, jelaskan mengapa ia mahu dilakukan dan muktamadkan kadarnya secara bersama-sama,” katanya.

“Ini tidak boleh terus dilaksanakan berdasarkan arahan yang akan menakutkan para pelabur. Mereka harus bersikap adil kepada pelabur.”

Kedua-dua ahli ekonomi itu mengulas laporan bahawa Putrajaya sedang mengkaji pelaksanaan CGT dan “kadar cukai one-off lebih tinggi” terhadap syarikat-syarikat yang mengaut “keuntungan luar biasa” ketika pandemik.

Bercakap di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa semalam berkata, kementerian itu mengalu-alukan cadangan daripada beberapa Ahli Parlimen bagi meningkatkan hasil negara dengan pelaksanaan dua dasar berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil kira maklum balas daripada pihak berkepentingan yang relevan untuk menentukan kesan pelaksanaan cukai terbabit dan tidak merosakkan kedudukan ekonomi dan daya saing Malaysia, terutama dalam menarik pelaburan asing.

Cadangan itu menandakan perubahan pendirian Kementerian Kewangan mengenai cukai luar jangka.

November lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, cukai luar jangka ke atas syarikat-syarikat yang mengaut keuntungan luar biasa ketika pandemik akan memberi “isyarat yang salah” kepada para pelabur.

Beliau menyifatkan cukai itu sebagai dasar tidak konsisten yang boleh menyebabkan negara-negara jiran seperti Vietnam dan Singapura, yang tidak melaksanakan cukai itu, menjadi lebih menarik kepada pelabur.

“Namakan saya satu negara di rantau ini yang melaksanakan cukai luar jangka,” katanya.

“Anda boleh (melaksanakan cukai luar jangka), tetapi anda mungkin memberi isyarat salah, terutamanya kepada ekonomi terbuka seperti Malaysia

No comments: