Semua salah kerajaan PN: Umno tidak pernah sertai kabinet Mahiaddin?

 


Sebaik sahaja Perdana Menteri (PM) dari parti Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan, naratif pemimpin dan media pro Umno tiba-tiba berubah terburu-buru menyalahkan pentadbiran PM Mahiaddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di atas segala masalah yang berlaku di Malaysia.



Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulai, Johor, Faezuddin Puad, tindakan Umno ini merupakan usaha mengalihkan isu yang menghina tahap berfikir rakyat seolah-olah pemimpin Umno tidak pernah terlibat dalam kerajaan PN.



"Sangat tidak adil apabila Umno meletakkan kegagalan kerajaan PN hanya di bahu Mahiaddin seorang.



"Kerana selain pemimpin PN, pemimpin Umno turut berada dalam kabinet Mahiaddin, seramai 9 orang," katanya.



Beliau berkata, 9 orang tersebut adalah menteri kabinet dan timbalan menteri seperti Menteri Pertahanan - Ahli Parlimen Bera; Menteri Luar Negeri - Ahli Parlimen Sembrong; Menteri Kesihatan - Ahli Parlimen Tenggara; Menteri Sains & Teknologi - Ahli Parlimen Rembau; Menteri Pengajian Tinggi - Ahli Parlimen Parit Sulong; Menteri Perpaduan - Ahli Parlimen Kuala Pilah; Menteri Belia & Sukan - Ahli Parlimen Kepala Batas; Menteri Tenaga & Sumber Asli - Ahli Parlimen Lenggong dan Menteri Wilayah Persekutuan - Ahli Parlimen Ketereh.



Menurut Faezuddin, dengan jumlah sebanyak itu tidak masuk akal sekiranya kegagalan kerajaan PN hanya terletak di tangan Bersatu, Pas, GPS, MIC dan MCA sahaja, tidak dikongsi bersama para pemimpin Umno.



"Semua dasar, undang-undang, SOP dan lain-lain perkara diputuskan secara kolektif dalam mesyuarat kabinet. Semua ahli kabinet terlibat.



"Ini bermakna, sekiranya Mahiaddin daripada parti PN gagal bermakna parti Umno pun turut sama gagal.



"Mana boleh Umno lepas tangan begitu saja. Rakyat tak lupa, dengan sokongan Umnolah, Mahiaddin boleh menjadi PM ke 8.



"Itulah sebabnya para menteri mengundurkan diri bersama Mahiaddin. Kerana segala musibah yang sedang negara tanggung hari ini akibat kegagalan kerajaan PN adalah tanggungjawab bersama PN dan Umno," katanya.



Malah kata Faezuddin lagi, isu yang bermain di fikiran rakyat ketika ini adakah bekas menteri yang gagal dalam kerjaan PN selain Ismail akan dilantik semula sebagai menteri atau apakah yang boleh dilakukan oleh Ismail yang telah gagal untuk sebaliknya mencipta kejayaan memerintah negara.



"Sekarang mantan Menteri Pertahanan merangkap mantan Timbalan Perdana Menteri kerajaan gagal sedang mengepalai negara.



"Tak mustahil pula kita akan dapat kerajaan Gagal 2.0. Jadi bersiap sedialah," katanya lagi.