Permudah proses vaksinasi bagi warga pekerja asing

 


Naib Ketua Wanita KEADILAN, Sangetha Jayakumar menggesa kerajaan supaya mempermudahkan proses vaksinasi bagi golongan warga pekerja asing.



Ini selepas beliau menggunakan beberapa kaedah seperti NGO dan bekerjasama dengan beberapa individu untuk mendaftarkan pekerja asing dalam program vaksinasi di PPV di daerah Klang.



Katanya, usahasama ini telah berjaya membuahkan sedikit hasil dengan 300 pekerja asing berjaya mendapatkan vaksinasi mereka dalam tempoh terdekat.



"Lanjutan daripada proses ini, saya mendapati pekerja asing yang menetap di Daerah Klang berjaya mendapat temujanji bagi vaksinasi. Akan tetapi, lokasi yang diberikan terlalu jauh iaitu PPV Putrajaya, Kuala Lumpur dan Mines, Seri Kembangan. Lokasi-lokasi ini lebih kurang 30 ke 50km dari Klang.



"Kedua, ketakutan yang jelas dari pekerja asing yang tidak sah, sama ada mereka mempunyai pasport atau permit kerja yang sah tetapi sudah tamat tarikhya, kumpulan ini sangat takut untuk mendaftarkan diri mereka dalam program vaksinasi. Walaupun ada sesetengah pekerja asing yang sudah berdaftar tetapi mereka masih lagi menunggu untuk mendapatkan temujanji selama berbulan-bulan.



"Ketiga, dilema melibatkan pekerja asing tidak sah yang langsung tidak mempunyai dokumen perjalanan sah seperti pasport. Setelah mendengar maklum balas dari sesetengah pihak, persoalannya adalah, mengapakan mereka di arahkan untuk hadir ke PPV Bukit Jalil sahaja? Walhal, ramai pekerja asing agak arif kerana mereka juga tahu lokasi pusat penahanan atau depot warga asing juga berada di Bukit Jalil," katanya.



Justeru, beliau berpandangan bahawa PPV haruslah dibuka kepada semua pekerja asing dengan serta-merta.



"Ini adalah kerana terdapat banyak PPV yang masih mempunyai tempat kosong untuk memberikan temujanji kepada pekerja asing.



"Dari segi ini, pihak JKJAV mesti mengeluarkan SOP yang jelas untuk memberikan vaksinasi kepada pekerja asing tanpa dokumen tanpa mengundang risiko tindakan Jabatan Imigresen terhadap mereka.



"Sekurang-kurangnya pastikan dua PPV di setiap daerah boleh menerima pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen. Pekerja asing yang langsung tidak ada pasport atau permit kerja harus dibenarkan pergi ke PPV khusus di setiap daerah.



"Manakala, pekerja asing yang sudah tidak bekerja untuk berbulan-bulan dan tidak cukup pendapatan untuk makan, tidak harus disuruh pergi ke PPV yang jauh kerana mereka tidak dapat menanggung tambang perjalanan tersebut," katanya.