Tidak mustahil PN akan bergolak lepas lantik Ismail TPM
Ketiadaan strategi baharu menangani Covid 19 atau langkah menyelesaikan kebuntuan polisi sedia ada selepas Timbalan Perdana Menteri (TPM) baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masuk ke pejabat beliau menimbulkan tanda tanya, mungkinkah sesuatu yang tidak beres berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Hal ini kerana Ismail dibayangkan sebagai ‘semangat baharu’ kepada kabinet PN bagi meredakan kemarahan rakyat berhubung kelemahan kerajaan menangani pandemik.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, G. Manivannan, tidak mustahil pelantikan Ismail tidak disenangi oleh sebahagian pemimpin Bersatu terutama yang mempunyai cita-cita besar untuk menjadi Perdana Menteri atau yang mendambakan jawatan TPM sebelum ini, sehinggakan TPM dari Umno itu seolah-olah tersekat langkahnya.
Oleh itu, katanya, jika berlaku perebutan kuasa dalam PN selepas ini maka rakyat tidak perlu terkejut.
“Sekiranya berlaku perebutan kuasa di antara mereka, rakyat Malaysia tidak perlu hairan kerana asal usul wujudnya PN pun adalah hasil perebutan kuasa.
“Bagi kita kuasa bukan untuk direbut antara satu sama lain, tetapi untuk memimpin agar rakyat dapat hidup dengan selesa, sejahtera dan bahagia. Selagi PN berkuasa, rakyat Malaysia hanya akan berdepan dengan pelbagai musibah,” katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Manivannan juga mengkritik kelembapan kerajaan PN memerangi wabak Covid 19 yang menjejaskan kehidupan seluruh rakyat.
Beliau tidak faham mengapakah kerajaan tidak mewujudkan pasukan khas dalam operasi melawan Covid sehingga berlaku pelbagai kecelaruan di beberapa kementerian juga kelemahan serius Kementerian Kesihatan Malaysia yang kekurangan wad menampung pesakit.
“Hasil data yang dikeluarkan oleh KKM, kes baru harian dan kes kematian telah meningkat tanpa terkawal.
“Seharusnya, Perdana Menteri dan Menteri-Menteri mewujudkan satu ‘bilik perang’ untuk memerangi wabak ini dari berleluasa. Namun, sebaliknya, negara kita mempunyai menteri yang sanggup ke luar negara, ketika kepimpinan mereka amat diperlukan di negara sendiri,” katanya sinis.
Manivannan merujuk kepada beberapa pemimpin politik PN termasuk menteri yang melakukan lawatan keluar negara baru-baru ini.
Katanya, sebagai pemimpin ahli politik parti pemerintah seharusnya menunjukkan tauladan yang baik ketika rakyat bertarung nyawa melawan virus maut.
“Lawatan ke Turki atau mana-mana pelosok dunia boleh ditangguhkan.
“Saya amat berharap pemimpin boleh meletakkan keutamaan dalam memimpin, dan keutamaan sekarang ialah untuk mengawal kes baru dan kes kematian harian, bukannya melawat negera-negara lain,” katanya lagi.
Sebelum ini tular di media sosial kritikan terhadap lawatan Azmin Ali ke Hagia Sophia di Turki dan kunjungan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz ke Perancis yang menimbulkan ketidak puasan hati warga maya pada waktu rakyat tidak dibenar menziarahi keluarga sekali pun.