-
May 20, 2021 4:23 PM
Chow Kon Yeow menunjukkan surat daripada Kementerian Kesihatan
bertarikh 12 Mac yang menolak sumbangan dua juta dos Sinovac percuma dari
sebuah syarikat swasta pada sidang media Selasa lalu. Turut hadir Lim Guan Eng.
GEORGE
TOWN: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hari ini berkata, beliau sedia meminta
maaf berhubung dakwaan Putrajaya menghalang tawaran sumbangan dua juta dos
vaksin Covid-19 kepada Pulau Pinang, jika terbukti ia adalah “scam”.
Semalam,
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy
Jamaluddin berkata, janji “penderma” dan syarikat yang berpusat di Hong Kong
itu kemungkinan besar palsu, selepas pencarian mengenai syarikat itu di negara
terbabit menunjukkan ia tidak wujud.
Ketua
Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Lim sebelum ini mendakwa Kementerian
Kesihatan (KKM) menghalang Pulau Pinang mendapatkan vaksin itu daripada
penderma.
“Jika
apa yang dikatakan Khairy itu benar, maka saya akan minta maaf supaya kita
boleh menumpukan perhatian terhadap perkara penting mendapatkan vaksin untuk
rakyat,” kata bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dalam kenyataan.
“Sama
ada syarikat itu wujud atau tidak adalah perkara tidak berapa penting, dan
sepatutnya tidak mengalih perhatian daripada dua isu utama kerajaan persekutuan
memberikan kelulusan segera kepada semua kerajaan negeri untuk membeli vaksin
atau mendapatkan sumbangan vaksin.
“Tidak
salah untuk mendapatkan vaksin secepat mungkin bagi melindungi diri rakyat
melalui apa saja cara yang dibenarkan.
Lim yang
juga setiausaha agung DAP berkata, KKM dengan tegas mengatakan “tidak” terhadap
“tawaran” vaksin itu, sebulan selepas Chow menulis surat kepada KKM Februari
lalu.
“Ketika KKM menolak tawaran untuk penderma vaksin, tidak ada disebutkan status syarikat itu sebagai syarikat palsu,” katanya.
Menurut Chow, Ketua Setiausaha KKM, Mohd Shafiq Abdullah
menulis surat kepadanya menyatakan negeri itu tidak perlu mempertimbangkan
sumbangan vaksin tersebut kerana kerajaan persekutuan telah merangka dan
melaksanakan PICK.
Lim berkata, pemberian vaksin harus diagihkan ke negeri supaya
lebih ramai orang dapat divaksin.
“Kerajaan Pulau Pinang telah menyuarakan kesediaannya menjadi
perantara bagi memberikan vaksin percuma kepada petugas barisan hadapan dan
golongan berisiko tinggi serta mereka yang mampu mendapatkan vaksin.
“Mengapa harus ada monopoli vaksin oleh sebuah syarikat saja,
apabila agihan kuasa dapat meningkatkan kadar vaksinasi?
“Lebih masuk akal untuk membiarkan mereka yang mampu membayar,
membeli vaksin dengan kos mereka sendiri kerana ini akan menjadikan lebih
banyak vaksin tersedia untuk diberikan secara percuma kepada orang lain,”
katanya.