-
May 20 , 2021
Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan perlu mencari pendekatan lain
dan tidak bergantung kepada sekatan pergerakan semata-mata untuk menurunkan
kadar jangkitan.
PETALING
JAYA: Rekod tertinggi 6,075 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini
menunjukkan jangkitan mungkin mencapai kemuncaknya – melainkan ia sudah menular
jauh ke dalam masyarakat, maka ia boleh merebak lebih cepat, kata seorang pakar
kesihatan.
Bekas
menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kebanyakan kes mungkin dijangkiti
sebelum perintah kawalan pergerakan 3.0 dilaksanakan sejak 12 Mei lalu, sehari
sebelum Hari Raya dan dijadualkan berakhir 7 Jun ini.
“Ini
mungkin memuncak atau meningkat sedikit. Tetapi, menjelang akhir minggu ini
atau minggu depan, kes patut berkurangan kerana pergerakannya dihadkan,”
katanya kepada FMT.
Namun,
beliau berkata, jika ramalannya salah, “maka ia menunjukkan virus itu sudah
menular jauh ke dalam masyarakat dan keadaan mungkin bertambah buruk.”
Beliau mengulas rekod tertinggi 6,075 kes baharu yang dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini. Semalam, rekod tertinggi 47 kematian dilaporkan.
Walaupun selepas PKP berakhir, Lee berkata, kes mungkin hanya
berkurangan kepada 2,000 hingga 3,000 kes setiap hari.
“Tetapi untuk menguruskan Covid, ia harus lebih rendah atau
hanya lebih sedikit daripada 1,000 kes setiap hari.”
Perlu SOP disasarkan
Lee berkata, kerajaan perlu meminda SOP kerana data daripada
kluster menunjukkan jangkitan berpunca daripada aktiviti perkumpulan dan
kegagalan memakai pelitup muka.
Ahli Parlimen Gopeng itu mencadangkan SOP ketat untuk aktiviti
perkumpulan dan majlis perkahwinan di rumah boleh dibenarkan, tetapi dengan
pemantauan polis.
Katanya, ia harus terhad kepada jumlah hadirin tertentu,
bergantung kepada saiz venue dan tetamu hanya boleh makan dan meninggalkan
majlis itu.
Bagi sekolah, Lee berkata, hanya 15 pelajar dibenarkan untuk
setiap kelas.
“Kementerian Pendidikan harus memperkenalkan sekolah alternatif
untuk mengawal jumlah pelajar.”
Katanya, pelajar mesti memakai pelitup muka setiap masa, dengan
bilangan pelajar lebih sedikit dan penjarakan fizikal diamalkan, jangkitan
dapat dibendung.
Lee menyarankan Putrajaya membenarkan rakyat menjalankan ujian
kendiri di rumah, jika terdapat penularan di tempat kerja atau kawasan mereka.
Beliau berkata pihak berkuasa peranti perubatan di bawah KKM
boleh menentukan peralatan yang digunakan untuk ujian air liur dan
mendapatkannya dari negara lain pada kos rendah.
“Jika kita boleh menurunkan harnya kepada RM10 atau RM20 setiap
ujian, lebih ramai orang boleh mendapatkannya.”
Katanya, kerajaan perlu meneliti pendekatan lain, mengkaji semula semua SOP dan tidak bergantung kepada sekatan pergerakan semata-mata untuk mengurangkan kadar jangkitan.