Terpulang kepada Umno – PKR untuk jalin kerjasama menjelang PRU 15
Tamatnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) kelmarin dan lulusnya usul memutuskan hubungan antara parti tersebut dan Bersatu akan meneroka pelbagai kemungkinan dalam strategi politik parti ‘ketuanan Melayu’ itu.
Tidak mustahil Umno akan merintis jalan Pas, selepas memutuskan hubungan dengan DAP pada 2015 parti itu berbaik-baik dengan musuh politiknya Umno dan berakhir di dalam gabungan Muafakat Nasional pada 2019.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bukan mustahil akan berlaku kerjasama di antara Umno dan parti-parti pembangkang biar pun di dalam PAU parti itu menegaskan tidak mahu berkerjasama dan bertegas akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15
“Tiada isu (kerjasama). Sebenarnya lebih untuk melihat keberangkalian-keberangkalian lain,
“(Mungkin) ada konsesus yang dibuat oleh Presiden (Umno) Zahid Hamidi
“Tujuan sebenar kita (kerjasama) adalah untuk menyelamatkan negara dan sekiranya terdapat ‘pattern’ (bentuk) kerjasama lain itu terpulang kepada parti,” katanya.
Namun Abdullah menegaskan, sekiranya terdapat keperluan kerjasama atau understanding antara KEADILAN dan Pakatan Harapan bersama Umno, semua itu akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi.
Katanya, ahli akar umbi KEADILAN akan mengikut apa yang terbaik diputuskan oleh parti.
“Kita (KEADILAN) menunggu presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kalau presiden sudah berkata itu yang terbaik untuk parti, kita teruskan.
“Tunggu arahan parti, maknanya nak tengok naratif parti bagaimana,” katanya lagi.
Untuk rekod, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesahkan terdapat perbincangan antara beliau dan pimpinan Umno tertentu untuk meninjau apakah kerjasama boleh dilakukan di antara kedua-dua parti menjelang PRU 15.
Bagaimanapun katanya, perjumpaan itu masih di peringkat awal dan belum sampai ke tahap kedua-dua parti melakukan perbincangan rasmi.