Keputusan PAU semalam yang menyetujui UMNO putus hubungan dengan Bersatu dan akan bergerak sendirian pada PRU15 nanti pada asasnya memang sudah dijangka dan sama sekali tidak mengejutkan.
Sebagaimana itulah kehendak akar umbi UMNO, ditambah dengan penyusunan jurucakap di mana tahun ini ia hanya terdiri daripada Pengerusi UMNO negeri-negeri, sudah tentu momentum serangan terhadap Bersatu tidak mungkin dapat dikendurkan lagi.
Apatah lagi dalam ucapan perasmian pada sebelah pagi semalam, Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO telah memulakan serangan terhadap Bersatu dan menaikkan semangat perwakilan tentang perlunya putus hubungan itu dimuktamadkan.
Begitu pun, meski UMNO setuju memutuskan hubungan dengan Bersatu, tindakan keluar daripada kerajaan PN tidak pula dilakukan secara serta-merta.
Kalau dulu, ketetapan UMNO ialah keberadaannya dalam kerajaan PN hanya sehingga Parlimen dibubarkan, tetapi kini keputusan itu diserahkan kepada Presiden dan MT UMNO memilih masa yang sesuai untuk berbuat demikian.
Zahid Hamidi kemudian berkata, MT UMNO akan menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan PN sebaik saja tempoh darurat tamat iaitu sama ada pada atau sebelum 1 Ogos depan.
Difahami bahawa tindakan ini adalah bertujuan agar PRU15 dapat diadakan selepas itu, bahkan ia juga bersesuaian dengan janji Muhyiddin Yassin sendiri yang berkata, PRU akan diadakan sebaik darurat tamat dan ancaman Covid19 sudah reda.
Bermakna, keputusan PAU semalam hanya merubah sedikit saja berkenaan hubungan nikah mutaah antara parti itu dengan Bersatu dalam kerajaan PN.
Dulunya tempoh nikah mutaah itu sehingga Parlimen dibubarkan yang tidak diketahui bila tarikhnya tapi kini dipendekkan kepada Ogos depan iaitu kira-kira lima bulan daripada sekarang.
Dalam tempoh lima bulan akan datang ini, UMNO dan Bersatu tetap kekal tinggal serumah dan makan semeja bersama seorang lagi madu dalam rumah yang iaitu Pas.
Selepas putus hubungan nanti, belum dapat dipastikan sama ada Pas akan memilih UMNO atau Bersatu untuk meneruskan fasa kehidupan berpolitik seterusnya.
Secara umumnya, keputusan UMNO yang tidak berani keluar serta merta daripada kerajaan, sebaliknya memberi tempoh lima bulan lagi untuk berbuat demikian, dengan sendirinya meletakkan parti itu terus dipertikaikan ramai.
Rata-rata mempersenda dan mempertikai ketetapan tersebut di mana jika Bersatu dan kerajaan PN sudah habis dikecam, ditempelak dan dicaci-maki dalam PAU semalam sehingga seolah-olah tiada satu pun yang baik mengenainya, kenapa UMNO tidak keluar segera dan masih sanggup bertahan lima bulan lagi tinggal bersama?
Apa lagi yang UMNO mahu tunggu?
Dalam waktu yang sama, turut dibimbangi kiranya dengan memberi ruang waktu lima bulan untuk keluar dan berpisah daripada kerajaan itu, ia seperti memberi masa kepada Muhyiddin dan Bersatu mencari jalan dan berfikir lagi menyelamatkan kedudukannya?
Jika dalam tempoh lima bulan akan datang Muhyiddin belum yakin mampu mengekalkan kuasanya, apakah mungkin beliau akan setuju membubarkan Parlimen?
Dalam tempoh lima bulan ini juga apakah Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin serta konco-konconya akan duduk diam saja?
Tidak mungkinkah selepas ini angka kes Covid19 tiba-tiba akan mencanak naik dan darurat yang lebih ketat akan dicadangkan pula bagi menggantikan darurat yang ada sekarang?
Dengan kuasa yang ada dalam tangannya, masa pun ada lima bulan lamanya, macam-macam perkara mampu Muhyiddin lakukan untuk mengekal dan mempertahankan kuasanya.
Sebab itu, keputusan terbaik bagi UMNO untuk mencerahkan peluangnya kembali berkuasa ialah dengan keluar kerajaan secara serta-merta sehingga Muhyiddin dan kerajaan PN terkejut dibuatnya sehingga tidak punyai masa untuk berfikir dan merancang apa-apa seterusnya.
(Shahbudindotcom 29/03/2021)