Rasa tidak puas hati rakyat jika tidak ditangani dengan baik boleh
mencetuskan gerakan massa.
Hal itu diungkapkan oleh Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Syed Badli Shah Syed Osman.Menurut Syed Badli, Malaysia telah mengalami beberapa gerakan massa termasuk yang paling mengesankan pada era Reformasi 1998.
"Gerakan massa di Malaysia banyak. Contohnya ketika Anwar dipecat pada 1998, di situ berlaku gerakan massa berikutan amarah rakyat untuk menentang rejim kerajaan yang bobrok. Masa itu mereka bangkit dan membawa gerakan yang semakin lama semakin besar sehingga menukar kerajaan (pada 2018).
"Kalau nak ambil konteks di luar negara, hari ini seperti Myanmar kenapa gerakan massa berlaku? Sebab pemerintah yang dipilih, iaitu kerajaan junta merampas kuasa kerajaan awam yang dipilih oleh rakyat. Kuasa dirampas dalam keadaan yang tidak sepatutnya maka rakyat bangkit
"Gerakan massa timbul akibat rasa tak puas hati rakyat pada sesuatu tempat atau negara," katanya dalam forum maya bertajuk 'Gerakan Massa Merubah Politik Negara' malam tadi.
Menurut Syed Badli lagi, gerakan massa tidak boleh dipandang mudah kerana boleh membawa perubahan besar dan mencipta sejarah baharu dalam politik negara.
Cuma kata Syed, gerakan massa tidak berlaku di Malaysia pada ketika ini kerana keadaan semasa yang tidak mengizinkan seperti Perintah Kawalan Pergerakan dan darurat.
Oleh itu, protes ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, katanya diperlihatkan di media sosial sahaja.
Bagaimanapun, Syed Badli berkata jika keaaan tidak menjadi lebih baik tidak ada jaminan gerakan massa tidak akan berlaku.
"Saya tidak menolak gerakan massa boleh berlaku kerana kerajaan tidak ada nilai-nilai untuk membantu rakyat. (Apa yang kita lihat) lebih kepada nilai kedudukan dan kuasa sendiri. Boleh ditanya dalam 10 orang, 5 - 6 orang berkata mereka tertekan. Kalau mereka kata 'selesa' mungkin mereka somebody," katanya lagi.