Pada 13 Februari
2021
oleh Raja Ahmad Iskandar Fareez
Oleh Raja Ahmad Iskandar Fareez
(Pengarah Komunikasi REFSA)
Setelah lebih 60 tahun berada bawah
pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi oleh UMNO, rakyat Malaysia
telah terbiasa dengan dominasi hegemoni parti politik tunggal.
Malah kebanyakan daripada kita masih terperangkap dalam kerangka pemikiran
bahawa perlu adanya satu parti dominan dalam satu gabungan (coalition) politik.
Namun keputusan pilihan raya umum
ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 telah menunjukkan bahawa struktur ini tidak lagi
terpakai dalam konteks politik semasa negara. Model politik kita telah berubah.
Tiada lagi satu parti yang dominan dalam kerajaan, baik semasa era pentadbiran
Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).
Walaubagaimana pun, masih ramai lagi
ahli politik yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa lanskap politik Malaysia
sudah berubah. Bahkan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pun
tidak dapat membebaskan diri daripada andaian dan pemikiran lapuk ini. Beliau
masih lagi terperangkap dengan obsesi untuk memperoleh majoriti yang selesa
dalam parlimen sekaligus mengukuhkan kedudukan beliau dan menjadikan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai parti dominan.
Boleh dikatakan juga,
ketidakstabilan pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini
lahir daripada persaingan antara Bersatu dan juga UMNO untuk menjadi ‘abang
besar’ dalam gabungan PN. Bagi tujuan ini, Muhyiddin berusaha untuk memperkukuh
kedudukan parti demi persiapan menghadapi PRU15 menerusi segala cara yang ada,
sampai ada ahli UMNO sendiri yang menuduh Bersatu sedang berusaha untuk menarik ahli-ahli UMNO
supaya menyertai parti itu.
Persaingan kuasa ini tentunya tidak
diambil ringan oleh UMNO. Parti yang dulunya merupakan abang besar dalam BN
tidak mungkin akan berdiam diri apabila berhadapan dengan ancaman langsung
daripada Bersatu. Apatahlagi, bagi UMNO, mereka menganggap kebanyakan
kerusi-kerusi Bersatu itu sebagai milik UMNO pada
asalnya.
Bagi menyelesaikan kemelut ini,
kedua-dua pihak bertekad untuk
bertembung pada PRU15 walaupun ianya diadakan ketika tempoh pandemik. Kedua-dua
Bersatu dan UMNO begitu yakin mereka dapat merangkul majoriti yang selesa dan
seterusnya mendominasi gabungan kerajaan baharu ini.
Namun begitu, tiada jaminan
mana-mana parti dapat menang besar dalam pilihan raya akan datang. Kemungkinan
besar juga keputusan pilihan raya itu mirip keputusan sekarang yang mana tiada
pihak memperoleh majoriti selesa dan memberangsangkan. Kerajaan yang dibentuk
juga mungkin hanya akan mendapat majoriti tipis.
Kalau kita lihat balik sejak pilihanraya
2008, jumlah undi yang diterima oleh gabungan parti-parti kerajaan dan
pembangkang hampir sama. Pada tahun 2008, BN menang 53% undi popular; pada
tahun 2013, gabungan pembangkang pada masa itu memenangi 51% undi popular; dan
pada tahun 2018, Pakatan Harapan memperoleh 48% dalam situasi tiga penjuru.
Maka, kita tidak boleh menolak kemungkinan komposisi kerusi tidak akan berubah
banyak. Tiada pihak yang akan menang besar.
Jika begitu, plihan raya bukanlah
langkah penyelesaian bagi kebuntuan ini.
Halatuju gabungan politik Malaysia
Dalam hal ini, pendapat Pengarah
Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong ada munasabahnya. Arena politk
Malaysia sudah berubah jadi pendekatan parti-parti politk juga perlu berubah.
Contohnya, kalau ramai pengguna sudah biasa menggunakan khidmat penstriman
seperti YouTube atau Netflix, takkan penyedia kandungan (content provider) pula masih berdegil untuk menjual kaset video VHS kepada
mereka. Tentunya tidak. Mereka yang enggan menukar haluan pastinya akan ditelan
dek arus zaman.
Parti-parti politik di Malaysia
haruslah menginsafi perkembangan politik semasa dan membina semula gabungan
politik yang lahir daripada semangat kerjasama bukannya dominasi abang besar.
Dari segi itu juga, kita perlu memikir semula bagaimana kita mengkonsepsikan
persoalan kepemimpinan politik. Dengan tamatnya dominasi hegemoni satu parti
politik, era pentadbiran Perdana Menteri berkuasa tunggal juga sudah
berakhir.
Sebagai sistem demokrasi beracuan
Westminster, kuat atau lemahnya suatu pentabiran bergantung kepada kaliber dan
prestasi barisan kabinetnya. Bagi gabungan politik, ini bermakna mereka harus
mengetengahkan sekumpulan (cohort) pemimpin yang berketerampilan dan
berkebolehan demi memastikan kelangsungan (survival)
mereka. Kepelbagaian bakat dengan mencampurkan nama baharu dengan
personaliti-personaliti yang berpengalaman mungkin berupaya menjadi kunci untuk
memikat para pengundi di masa hadapan.
Tawaran kepada pengundi juga perlu
diperbaharui. Buku-buku tebal manifesto mungkin bukan lagi medium paling
berkesan untuk memenangi hati dan minda para pengundi. Sebaliknya idea-idea
baharu yang mampu menyelesaikan masalah seharian rakyat dari segi kelangsungan
hidup, mata pencarian, kebajikan dan jaminan kehidupan bermaruah antara lain
memainkan faktor penting dalam pertimbangan para pengundi. Komunikasi secara
langsung dan berterusan melalui proses libat urus pengundi secara maya dan
berkala mungkin menjadi salah satu platform penting dalam persediaan kempen
PRU15.
Pandemik Covid-19 telah menyerlahkan
ketempangan sistem ekonomi dan aturan sosial negara kita. Mereka yang berada
bertambah kaya, tetapi mereka yang rentan terus bergelut untuk memenuhi
keperluan hidup. Tempoh daripada hari ini sehinggalah PRU15 bakal menjadi kayu
ukur. Mana-mana gabungan politik yang dapat memposisikan diri mereka dengan
mengetengahkan penyelesaian-penyelesaian segar bagi masalah rakyat
berkemungkinan akan muncul sebagai pemenang bagi pusingan akan datang.