SIRI 9
1. Wira Tidak Didendang kali ini agak istimewa kerana dia hanyalah seorang kanak-kanak. Kanak-kanak hebat ini adalah seorang pelajar di sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Putera Jaya, Setiu, Terengganu. Nama adik hebat ini adalah adik Mohamad Hisyam bin Ismail. Maka pada 12 hb Februari, 2019, aku dan team aku telah bertolak ke Trengganu untuk misi kami bertemu Wira Tidak Didendang ini.
2. Aku dan isteriku telah bertolak ke Terengganu dengan menaiki kapalterbang. Para pegawai aku yang turut ikut bersama telah bertolak sehari lebih awal dan telah bermalam di Kuala Trengganu.
Sewaktu sampai sahaja di Kuala Trengganu, aku lihat sudah ada kereta rasmi yang sedang menunggu kedatangan aku di lapangan terbang. Pada mulanya, SUSK aku telah memberitahu aku bahawa kereta rasmi yang membawa aku itu akan turut diiringi juga oleh pasukan polis pengiring – dari “airport” hingga ke destinasi. Oleh kerana aku tidak berapa selesa dengan cara sebegitu, maka aku meminta dibatalkan iringan polis pengiring tersebut.
Alhamdulillah, hasrat aku dihormati. Apa pun, dalam perjalanan ke sekolah tersebut dari lapangan terbang, aku telah mengajak “driver” baru aku itu untuk singgah di mana-mana kedai makan yang ada menjual nasi dagang yang best.
Beliau bersetuju dan kami semua telah bersarapan pagi di sebuah warung di tepi jalan yang ada menjual nasi dagang dan keropok lekor. Makan di warung desa itu memang best tetapi yang tak bestnya aku dapat rasakan semua mata para “customers” di warung itu sibuk memandang aku!
3. Baiklah,apa cerita adik Mohamad Hisyam ini? Aku mula tahu kisah adik Mohamad Hisyam ini apabila aku terbaca tentang kisah beliau di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 25 Januari 2019. Di dalam akhbar tersebut, terpapar foto adik Muhamad Hisyam sedang menyuapkan makanan dengan menggunakan tangan kepada adik perempuannya, Nor Dina yang juga bersekolah di sekolah yang sama.
Adik Mohamad Hisyam, pada masa itu, baru berusia 11 tahun dan berada di Tahun Kelima manakala adik perempuannya hanya berusia 7 tahun dan merupakan pelajar Tahun Satu.
4. Berita dan foto adik Mohamad Hisyam sedang menyuapkan makanan kat adik perempuannya itu dikatakan telah tular di internet dan menarik minat ramai warganet termasuk aku. Yang lebih hebat lagi dia dan adik perempuannya itu sedang makan secara berkongsi di pinggan yang sama.
Foto tersebut memang berjaya meruntun hati para pembaca. Bagi pihak aku, hanya dengan melihat foto tersebut sahaja dan tanpa membaca beritanya, ia sudah cukup untuk aku terus menghubungi Anas -pegawai mediaku – untuk menghubungi pihak sekolah untuk aku berjumpa dengan adik tersebut dan seterusnya menganugerahkan Wira Tidak Didendang kepada wira baru tersebut.
Anas tidak menghadapi masalah bagi mendapatkan tarikh untuk kami ke sekolah tersebut dan berjumpa dengan adik Mohamad Hisyam itu. Alhamdulillah.
5. Team aku kemudiannya mula mendapatkan info lanjut tentang adik Mohamad Hisyam itu. Aku makin kagum dengan adik hebat ini bila aku dapat tahu dia adalah seorang pelajar yang memegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dan telah melakukan hal tersebut – makan bersama dengan adik perempuannya tersebut dalam satu pinggan yang sama sambil menyuap nasi ke mulut adiknya – sejak tiga tahun yang lalu iaitu sejak adiknya berumur 5 tahun dan berstatus pelajar pra sekolah di sekolah yang sama.
Aku juga kemudiannya diberitahu oleh bapa adik Mohamad Hisyam, encik Ismai Setapa, bahawa anak lelakinya itu memang seorang yang amat penyayang di rumah terutamanya dengan adik adiknya. Dan bila aku berjumpa dan berbual sendiri dengan kanak-kanak itu, aku boleh dapat rasakan sifat penyayang adik tersebut.
6. Melalui adik Mohamad Hisyam itu, aku belajar sesuatu yang amat berharga. Mungkin jika kita ukur dan nilai seseorang itu dari segi material semata mata, adik ini dan keluarganya tidak ada apa yang boleh dibanggakan.
Bapa adik ini hanya berkerja sendiri dengan pendapatan sebulan hanya pada RM600 sahaja. Mereka semua hanya tinggal di rumah PPRT atau Program Perumahan Rakyat Termiskin dan ayahnya perlu tanggung seorang anak OKU – adik Mohamad Hisyam.
7. Tetapi.. , ya, dalam famili yang amat sederhana ini, mereka memiliki apa yang ramai dari kita mungkin tidak berjaya miliki – sifat dan akhlak penyayang dan kasih pada insan lain. Dan aku dimaklumkan itulah antara didikan ibu bapa adik Mohamad Hisyam kepada seluruh anak mereka di rumah.
8. Sebenarnya selain adik Mohamad Hisysam ini aku juga berjumpa juga seorang kanak-kanak lain di negeri Pahang yang juga datang dari keluarga yang miskin dan daif jika dinilai menurut kayu ukur atau standard material semata-mata tapi hakikatnya amat kaya dengan sifat kasih sayang. InsyaAllah kisah kanak kanak hebat di Pahang itu juga aku akan ceritakan di ruang ini dalam siri siri seterusnya.
9. Seperti yang aku katakan kami telah berkunjung ke sekolah tersebut untuk bertemu dengan Wira tidak Didendang itu pada 12 Februari 2019. Pada mulanya kehadiran aku ke sekolah itu pada pagi itu hampir tidak disedari oleh pihak sekolah kerana pihak sekolah tidak sedar bahawa tiada kenderaan polis pengiring yang mengiringi kereta rasmi aku seperti yang biasa berlaku pada era Kerajaan yang terdahulu.
Tetapi, bila aku memaklumkan Anas yang kami telah pun sampai di perkarangan sekolah, pihak sekolah, aku dapat lihat, agak kelam kabut.
10. Apa pun kehadiran aku telah disambut dengan penuh ceria dan meriah. Pelbagai aturcara rasmi telah diatur untuk aku. Bukan sahaja Guru Besar dan para guru di sekolah tersebut serta para pelajar semuanya berada di dalam dewan sekolah , malahan Pegawai Pendidikan Daerah Setiu juga hadir. Ibu bapa adik Mohamad Hisyam juga turut dijemput. Pihak RTM dan beberapa media lain juga turut hadir.
It was really happening! Adik Mohamad Hisyam dan ibu bapanya juga diminta berada di pentas bersama aku. Pada hari itu adik tersebut betul – betul dilayan seperti seorang wira sekolah tersebut. Wira cilik yang Tidak Didendang itu dianggap oleh pihak sekolah telah menaikkan nama sekolah.
Beliau juga menjadi buruan para wartawan dan jurugambar pada hari tersebut…