Gelombang tidak percaya terhadap Muhyiddin, Perikatan Nasional dijangka berterusan - Penganalisis

 

Fareez Azman
Gelombang tidak percaya terhadap Muhyiddin, Perikatan Nasional dijangka berterusan - Penganalisis
Profesor Dr Sivamurugan berkata, desakan parti politik terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional dijangka berterusan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Gelombang desakan ketidakyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijangka berterusan, kata Profesor Dr Sivamurugan Pandian.
Menurut penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia itu, desakan tersebut akan terus kedengaran susulan kegagalan blok pembangkang menolak Belanjawan 2021 ketika bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata, pemimpin dan parti politik dijangka menggunakan platform lain untuk menterjemahkan rasa tidak yakin itu selepas gagal berbuat demikian di Dewan Rakyat.
"Masing-masing tahu bahawa Parlimen adalah tempat terbaik menyoal tahap kepercayaan dan keyakinan Perdana Menteri dan itu tidak berjaya apabila kerajaan Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan sokongan walaupun tiga majoriti.
"Sudah pasti mereka (pembangkang) akan mencari ruang-ruang yang lain barangkali secara berterusan akan mempengaruhi persepsi dan juga melahirkan ketidakyakinan ke atas kepimpinan Perdana Menteri kerana masing-masing (mempunyai) pendirian yang sama melihat bahawa membuka ruang persoalan ke atas kedudukan kepimpinan Perdana Menteri," kata Sivamurugan .
Dalam perkembangan sama, Sivamurugan berkata, desakan itu juga dilihat seperti memberi tekanan agar Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dipercepatkan meskipun ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
"Saya pasti ruang baharu akan diterokai mungkin akan membawa kepada kerjasama dengan pihak yang lain dan ketiga mungkin juga akan mendesak dipercepatkan PRU walaupun kita masih berhadapan dengan pandemik COVID-19,” kata beliau lagi.