Rakyat Malasia tak perlukan Abah
Reggie Jessey
“Percayalah, Malaysia tidak memerlukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kerana segala apa yang dilakukannya bercanggah terus dengan nilai peradaban Islam dan sedang menjurus ke arah keruntuhan satu peradaban yang ulung di bumi Allah ini” – Raggie Jessy Rithaudeen
ٓ
Amat jelas kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Di-Pertuan Agong untuk tidak mengisytiharkan darurat, dan perkara ini telah dibicarakan secara langsung dan tidak langsung oleh Muhyiddin dan orang kanannya sendiri menerusi kenyataan rasmi kepada umum.
Pada 31hb Oktober 2020, Muhyiddin menyuarakan kebimbangan kononnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri Sarawak akan memburukkan lagi krisis Covid-19 yang kian menggila di negara ini.
Dalam menyuarakan kebimbangan itu, Muhyiddin berkata, kedua-dua pilihan raya itu dapat ditangguhkan hanya jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Ini sebenarnya satu pembohongan oleh seorang yang bergelar Perdana Menteri, tidak sampai seminggu selepas Yang Di-Pertuan Agong menidakkan permintaannya untuk diadakan Darurat.
Pertama sekali, Dewan Undangan Negeri Sarawak hanya perlu dibubarkan selewat-lewatnya Jun tahan depan, sekaligus memberikan kerajaan Sarawak banyak masa untuk memberi tumpuan terhadap perang Covid-19 sebelum memikirkan soal pembubaran Dewan.
Kedua, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg, sendiri menegaskan bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri dan mengulangi pendiriannya untuk memberi fokus terhadap perang Covid-19, satu pendirian yang pernah dibuat olehnya sebelum Muhyiddin menghadap Agong dengan usul Darurat.
Ketiga, Muhyiddin dilihat tidak pernah cuba untuk mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit bagi membincangkan Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum mengadakan mesyuarat tergempar kabinet untuk mengusulkan cadangan Darurat.
Keempat, Muhyiddin tidak pernah cuba untuk mengusulkan rang undang-undang khas bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi, di mana sekiranya rang undang-undang sebegini diusulkan, ianya sudah pasti akan mendapat sokongan dua per tiga ahli-ahli parlimen.
Kelima, tidak ada apa-apa yang menghalang Muhyiddin daripada mengarahkan Majlis Keselamatan Negara untuk membuat ketetapan baharu yang ketat bagi tempoh kempen seandainya Pilihan Raya diadakan, termasuk ketetapan yang hanya membenarkan kempen menerusi media sosisal dan melarang ceramah atau kempen rumah ke rumah.
Jadi nyatalah Muhyiddin berbohong dan menggunakan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi sebagai alasan untuk mendapatkan persetujuan barisan Jemaah Menteri agar cadangan Darurat diusulkan sekali lagi kepada Yang Di-Pertuan Agong.
Oleh kerana pembohongan ini melibatkan putar belit dan pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat kepada kerajaan Yang Di-Pertuan Agong, ianya merupakan satu bentuk penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda Tuanku, lebih-lebih lagi memandangkan pihak Istana Negara sudah memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku tidak nampak perlunya diisytiharkan Darurat.
Berdasarkan pemerhatian saya, jika benar Muhyiddin begitu khuatir sehingga tidak mempercayai langsung kemampuan pihak-pihak lain untuk bermuzakarah, beliau dengan mudah boleh mengusulkan rang undang-undang khas untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi.
Malangnya, beliau takut berbuat demikian kerana takut rang undang-undang ini tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat, sekaligus menjadikannya satu bentuk “undi tidak percaya” terhadap kepimpinannya.
Inilah yang saya nampak, dan berdasarkan pemerhatian ini, saya yakin bahawa Muhyiddin lebih mementingkan jawatannya daripada perlunya mengambil langkah-langkah sesuai bagi memerangi wabak Covid-19.
Apa tidaknya, sedangkan tindak tanduk Muhyiddin selama ini jelas menunjukkan beliau tidak mementingkan kesejahteraan rakyat jelata, termasuk keputusannya untuk berkempen di Sabah bersama barisan kepimpinan PPBM tanpa menghiraukan langsung SOP yang jelas dilanggar berulang kali oleh ramai pemimpin Perikatan Nasional.
Malah, Pilihan Raya Negeri Sabah dicetus oleh Tan Sri Musa Aman sendiri yang sememangnya bersekutu dengan Muhyiddin dan terlibat secara langsung dengan usaha sulit untuk mempengaruhi ramai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah untuk berpaling tadah terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.
Kini, setelah Yang Di-Pertuan Agong menidakkan pengisytiharan Darurat, Tan Sri Rais Yatim, yang sememangnya merupakan “kaki bodek nombor satu” dan “tangan kanan Muhyiddin,” tergamak mempersoalkan titah Seri Paduka Baginda Tuanku tanpa mendapat sebarang reaksi daripada Muhyiddin.
Inilah masalahnya apabila sesebuah kerajaan dibentuk menerusi pengkhianatan, kerana pihak yang melakukan pengkhianatan itu semestinya kemaruk kuasa dan akan melakukan apa sahaja yang perlu demi memastikan kedudukan mereka tidak dicabar.
Tidak ada sebab munasabah bagi Muhyiddin mencadangkan Proklamasi Darurat, kerana bukan hanya pihak kerajaan tidak terkekang langsung dalam melaksanakan sebarang dasar sepertimana yang sedang dilaksanakan kini bagi memerangi wabak Covid-19, hanya negeri Sabah yang benar-benar terjejas teruk disebabkan wabak itu, bukannya satu Malaysia.
Setakat ini, segala langkah pencegahan yang diambil sudah memadai, dan tidak pernah ada sebarang laporan atau bukti yang menunjukkan pihak hospital kerajaan mengalami kekangan dari segi kekurangan peralatan atau katil disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 hingga mampu membawa ancaman serius kepada kesihatan rakyat jelata.
Dan jika ya pun berlaku kekangan sedemikian, tidak ada apa-apa langkah yang boleh diambil oleh Majlis Keselamatan Negara menerusi Proklamasi Darurat yang tidak boleh diambil kini menerusi undang-undang yang sedia ada dengan kadar segera tanpa bantahan daripada mana-mana pihak.
Jadi cukup jelas bahawa cadangan Proklamasi Darurat yang dikemukakan oleh Muhyiddin kepada Yang Di-Pertuan Agong tidak masuk akal dan hanya akan meningkatkan ketegangan di kalangan rakyat jelata, yang sehingga kini amat berdisiplin dan tidak pernah menentang sebarang usaha kerajaan untuk mengawal pergerakan.
Rakyat juga cukup selesa dengan tindakan Muhyiddin mengerahkan pihak Tentera Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia untuk mengawal pergerakan dan tidak pernah berhimpun untuk menentang sebarang dasar kerajaan dalam usaha memerangi wabak Covid-19.
Amat nyata bahawa Muhyiddin hanya sedang cuba menyelamatkan tengkuknya agar beliau boleh kekal berkuasa malah memperolehi kuasa tambahan, mungkin untuk cuba menghukum mereka yang mengkritik pentadbirannya.
Berdasarkan hujah-hujah ini, saya dengan ini mencadangkan agar Muhyiddin tidak membuang masa lagi dan terus meletakkan jawatan atau bersetuju menjadikan pembentangan usul tidak percaya terhadapnya sebagai agenda utama apabila parlimen bersidang kelak.
Percayalah, Malaysia tidak memerlukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kerana segala apa yang dilakukannya bercanggah terus dengan nilai peradaban Islam dan sedang menjurus ke arah keruntuhan satu peradaban yang ulung di bumi Allah ini.