Kerajaan boros, kementerian baru jadi lubuk wang politik PN





Cara dan pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menguruskan perbelanjaan dan peruntukan ketika ini dilihat bermotifkan politik semata-mata.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berpandangan bahawa saiz kabinet PN yang begitu besar dengan penambahan jumlah timbalan menteri dari kebiasaaan bukanlah cara baik untuk kerajaan bergerak ke depan.

"Malah, lantikan ahli parlimen dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun biasanya untuk memastikan asas pembentukan sesebuah badan itu seiring dengan dasar kerajaan.

"Malangnya, dalam pengalaman lepas ia tidak berlaku begitu, sebaliknya ia jadi lubuk sesetengah pihak mengatur wang untuk politik kepartian sempit," katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan ( Penguntukan Semula
Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 di Dewan Rakyat.

Pada masa sama, Amin turut mencadangkan supaya Akta Perkhidmatan Parlimen dikembalikan bagi membolehkan peruntukan untuk setiap kawasan Parlimen diagihkan secara demokratik.

"Di disinilah (Parlimen) kerajaan membuat keputusan tertinggi dan tidak ada alasan untuk memperkasakan institusi Parlimen.

"Akta itu juga akan menetapkan setiap kawasan Parlimen untuk menyediakan peruntukan yang sama dan disalurkan oleh Parlimen, bukan melalui peruntukan khas dari menteri serta bukan mengurangkan peruntukan untuk pengaruh politik bersifat memihak.

"Ini membolehkan rakyat seluruhnya mendapat peruntukan pembangunan dan kebajikan yang diperlukan.

"Kita tidak perlukan ahli parlimen mempengaruhi GLC dan badan berkanun secara tidak wajar, sebaliknya ahli parlimen turun kawasan dan membantu penduduk serta memberi maklum balas mengenai apa yang dibahaskan di Parlimen," katanya.


No comments: