Hanya kerana keceluparan atau mungkin “terlajak cakap” oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dr. Latif Ahmad, hubungan UMNO dan Bersatu kini tiba-tiba jadi bermasalah.
Beliau yang menyebut UMNO sebagai parti tidak laku di Sabah telah mendapat kecaman keras daripada hampir semua pemimpin parti itu.
Walaupun sudah meminta maaf dan mengakui kesilapannya, permohonan maaf Ahli Parlimen Mersing itu nampaknya langsung tidak dipedulikan.
Daripada mereka menyerangnya dengan melabel sebagai pemimpin yang lupa diri dan tidak mengenang jasa UMNO kerana selama ini bernaung dan banyak mendapat nikmat kehidupan melalui parti itu sebelum melompat menyertai Bersatu, perbalahan mula merebak untuk mengambil balik kerusi Mersing yang diduduki oleh Dr. Latif.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak adalah antara pemimpin kanan parti yang tidak berselindung lagi tentang keperluan UMNO mengambil semula kerusi Mersing itu.
Setiausaha Agung BN, Annuar Musa pula berkata, UMNO akan mempertahakan semua kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu.
Secara tersiratnya, kenyataan Annuar itu tentulah bermaksud BN mahukan balik berbelas kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu, tetapi Ahli Parlimennya kemudian meninggalkan UMNO untuk menyertai Bersatu, termasuk Dr. Latif sendiri.
Lebih daripada itu, ini juga bermaksud UMNO mahukan balik semua kerusinya yang dimenangi oleh pelompat-pelompat seperti Dr. Latif itu.
Dengan UMNO mahu mengambil semula kerusi-kerusi tersebut, ertinya UMNO tidak mahu berkompromi langsung dengan Bersatu dalam soal tersebut.
Maka, di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang sudah beralih kepada Bersatu itu mahu bertanding?
Sementara itu, dengan UMNO makin merapatkan cengkaman hubungan dengan Pas melalui penubuhan pelbagai jawatankuasa untuk menghadapi PRU15, adalah jelas bahawa Bersatu makin cuba dipinggirkan.
Lalu, apa tunggu lagi?
Apakah UMNO mahu terus bersama dengan Bersatu dalam PN, tetapi sentiasa bercakaran?
Begitu juga Bersatu, buat apa tunggu lagi bersama dengan UMNO jika sudah tahu mereka bakal ditinggalkan?
Bukankah berpisah segera lebih baik bagi kedua-duanya?
(Shahbudindotcom 10/07/2020)
(Shahbudindotcom 10/07/2020)