Dalam ucapannya di Program Jelajah Bersatu Blackout di Kedah Sabtu lalu, Tun Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, sama ada beliau akan menubuhkan sebuah parti baru atau tidak hanya akan diputuskan selepas 7 Ogos depan.
7 Ogos adalah hari di mana mahkamah akan memberikan keputusan berhubung kesahihan kes pemecatan Tun Mahathir bersama beberapa pemimpin lain daripada Bersatu.
Menurut Tun Mahathir, jika kalah dalam kes mahkamah itu, beliau akan menubuhkan sebuah parti baru untuk meneruskan perjuangannya.
“Jika menang, saya akan ambil alih Bersatu dan usir Muhyiddin Yassin daripada Bersatu,” tambahnya lagi.
Bekas Perdana Menteri itu juga menegaskan, beliau tidak akan bekerjasama lagi dengan PH kerana gabungan itu masih mahukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Saya memang tidak boleh bekerjasama dengan Anwar,” akuinya dengan berterus-terang.
Dengan kenyataan ini, pendirian politik Tun Mahathir adalah jelas dan tidak lagi sukar difahami iaitu beliau ingin terus menjatuhkan Muhyiddin serta tidak mahu bekerjasama lagi dengan Anwar dan PH.
Dalam waktu yang sama, oleh kerana di dalam PN ada Muhyiddin, Najib Razak dan UMNO yang juga dimusuhinya, pastilah beliau juga tidak akan bekerjasama dengan gabungan kerajaan itu.
Maka, pilihan yang tinggal hanyalah bersendirian untuk mencapai cita-citanya itu.
Tetapi, berjuang bersendirian tanpa parti juga adalah mustahil mampu memberikan hasil yang diingininya itu.
Mahu tidak mahu, menubuhkan parti baru adalah suatu keperluan dan tidak dapat dielakkan lagi bagi Tun Mahathir.
Dalam hal ini, Tun Mahathir sepatutnya tidak perlu menunggu sehingga 7 Ogos untuk memutuskan sama ada mahu menubuhkan sebuah parti lain atau pun tidak.
Beliau perlu menubuhkan parti baru itu sekarang juga atau mengambil alih mana-mana parti kecil yang tidak beroperasi untuk menunjukkan keseriusannya mahu menjatuhkan Muhyiddin dan menyaingi PH.
Ini kerana apa-apa keputusan mahkamah pada 7 Ogos nanti, ia pasti akan berlanjutan dengan proses rayuan dan akan memerlukan lebih banyak masa sebelum sesuatu yang muktamad ditetapkan.
Dalam waktu yang sama, para penyokongnya tentu akan terus berada dalam ketidaktentuan tanpa parti untuk meneruskan perjuangan.
Menubuh parti baru atau mengambil alih parti lain sebagai persediaan awal adalah lebih munasabah dan jika keputusan mahkamah memihak kepadanya, Tun Mahathir boleh saja menggabungkan parti itu dengan Bersatu yang berjaya diambil alihnya supaya perjuangannya menjadi lebih besar lagi.
Lagi pula, dengan ketidaktentuan sokongan yang dialami dalam kerajaan, selain tekanan daripada UMNO, adalah tidak mustahil Muhyiddin akan membubarkan Parlimen lebih awal daripada jangkaan.
Untuk menghadapi situasi itu, Tun Mahathir pasti perlukan sebuah parti sebagai wadah untuk bertanding dalam pilihanraya.
Lagi pula, dengan langkah menubuhkan parti, Tun Mahathir juga boleh mulai menarik ahli-ahli Bersatu yang masih menyokong perjuangannya untuk menyertai parti baru yang ditubuhkannya itu.
Jika misalnya berjaya menarik lebih separuh daripada ahli-ahli Bersatu yang ada sekarang untuk menyertai parti barunya, bermakna Tun Mahathir sudah berjaya menjatuhkan Muhyiddin sebelum pun PRU tiba.
Kepada Tun Mahathir, usah berlengah lagi dan jangan nanti, setelah Parlimen dibubarkan, baru tercari-cari parti dan logo untuk digunakan dalam pilihanraya.
(Shahbudindotcom 20/07/2020)