SPRM jangan ulangi pelanggaran SOP soal siasat saksi – Wanita PH
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) digesa agar menghentikan kaedah intimidasi dan penyiksaan semasa melakukan siasatan atau mengambil keterangan daripada saksi.
Hal itu dibangkitkan oleh Wanita Pakatan Harapan (PH). Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini Wanita PH mengingatkan SPRM agar tidak lagi mengulangi imej buruk terpalit dengan kes kematian saksi Teoh Beng Hock pada 11 tahun lalu atau Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui mati di pejabat SPRM pada 2011.
Kes terbaharu melibatkan pegawai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq, Nurul Hidayah, menurut mereka, tidak sewajarnya menjadi petanda kembali SPRM ke era sebelum Malaysia Baharu.
“Adakah kaedah menakut-nakutkan dan menyeksa saksi ketika rakaman keterangan diambil adalah Prosedur Operasi Standard yang baharu diamalkan oleh SPRM di bawah Perikatan Nasional (PN)?
“Adakah ini perkara baharu di bawah arahan Kerajaan PN di mana mereka yang telah dipanggil ke pejabat SPRM harus bertahan semasa soal siasat dan penyaksian saksi?” tanya Wanita PH yang diwakili oleh Exco Selangor Rodziah Ismail dari KEADILAN, Senator Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (AMANAH) dan Chong Eng (DAP).
Nurul Hidayah, sebelum ini dalam laporan polisnya berkata, beliau dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM sebagai saksi. Namun sepanjang sesi soal siasal dengan pegawai SPRM lelaki dan wanita, beliau mendakwa mengalami intimidasi, ancaman dan taktik menakutkan dilakukan oleh pegawai yang menyoalnya.
Nurul mendakwa dijerit, telefon bimbitnya dilemparkan ke arahnya, dipanggil “babi” dan “bodoh”, juga dipaksa berdiri selama 30 minit di atas satu kaki dengan kedua-dua lengan diangkat semasa menjawab soalan.
Para pegawai bergurau bahawa jika beliau letih, boleh beralih berdiri di kaki yang lain. Nurul juga didakwa diancam akan ditampar oleh seorang pegawai yang pada masa itu tangan pegawai tersebut berada hampir pada wajahnya. Kerusi yang didudukinya turut ditendang. Beliau tidak dibenarkan berjumpa peguam yang pada masa itu berada di lobi bangunan SPRM
Sehubungan itu, Wanita PH mengingatkan SPRM bahawa salah satu cadangan daripada Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin (untuk IPCMC) hampir sedekad lalu, adalah menyediakan ruang siasatan dengan pengawasan video. Segala wawancara dengan suspek dan saksi hanya boleh dilakukan dalam ruangan tersebut.
“Sekiranya amalan seperti itu diterapkan secara komprehensif oleh semua agensi penguatkuasa termasuk SPRM, mungkin kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani dalam premis SPRM dapat dielakkan.
“Teknologi ini telah lama wujud, dan digunakan secara meluas di seluruh dunia. Mengapa ada kelewatan dalam menerapkan saranan ini dan sekaligus lambat dalam mewajibkan pelaksanaannya?
“Menggunakan teknologi sedemikian akan mendorong peningkatan profesionalisme dalam kalangan pegawai penguatkuasa dan sekaligus membantu melindungi pegawai terhadap sebarang tuduhan penyalahgunaan, kekejaman dan tingkah laku tidak profesional.
“Kegagalan bagi memastikan saranan ini dilaksanakan, secara tidak langsung menunjukkan kurangnya keinginan tulen daripada pihak penguatkuasa untuk bersikap terbuka dan telus, malah mungkinkah ada sesuatu yang perlu disembunyikan mengenai kaedah, taktik dan teknik soal siasat ini,” kata mereka lagi.
Oleh itu, Wanita PH mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki segera melancarkan siasatan mengenai salah laku dan penyiksaan saksi, malah suspek yang dibawa ke premis SPRM untuk disoal siasat.
“Kami juga meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, agar berani mengambil tindakan atas laporan polis yang dibuat oleh Nurul Hidayah.
“3 bulan di bawah Perikatan Nasional, penyalahgunaan kuasa, penyeksaan dan ancaman secara terang-terangan terus berlaku di SPRM. Soal siasat menggunakan kekerasan yang berlebihan mesti diklasifikasikan sebagai tindakan jenayah dan mereka yang terlibat harus segera diambil tindakan,” ujar mereka.
Wanita PH turut menyatakan solidariti kepada Nurul Hidayah dan rakan-rakannya, serta semua yang menjadi mangsa penyiksaan, ancaman serta taktik menakut-nakutkan oleh SPRM.