Pemuda PKR tolak hujah Maszlee, tetap mahu Anwar sebagai PM






Setiausaha Pemuda PKR Ahmad Syukri Che Ab Razab menolak kenyataan ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik bahawa tanpa Dr Mahathir Mohamad, peluang PH mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis, bahkan mustahil.

PETALING JAYA: Selepas Maszlee Malik melabel jawatan perdana menteri ke-9 bukan hak mutlak Anwar Ibrahim jika gabungan pembangkang kembali menerajui Putrajaya, Pemuda PKR tampil menepis hujah tersebut.
Setiausaha sayap PKR itu, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, Maszlee juga perlu sedar bahawa jawatan perdana menteri bukan hak muktlak Dr Mahathir Mohamad.
“Saya bersetuju bahawa jawatan perdana menteri bukan hak mutlak sesiapa. Tetapi apakah Maszlee tidak sedar bahawa beliau seolah-olah sedang memutlakkan jawatan perdana menteri itu hanya kepada Tun Mahathir?,” katanya kepada FMT ketika dihubungi hari ini.
Syukri berkata, cadangan meletakkan Anwar sebagai calon perdana menteri dibuat dengan mengambil kira sokongan Pakatan Harapan (PH), iaitu gabungan PKR, Amanah dan DAP dengan komposisi 91 ahli Parlimen yang sebulat suara menamakan presiden PKR itu.
Soalnya sekarang, pihak manakah pula yang menamakan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri?
“Adalah lebih mudah sekiranya Maszlee sama-sama membantu untuk merasionalkan Mahathir agar memberi sokongan padu kepada Anwar, bukan lagi merayu supaya Anwar Ibrahim mengalah buat kesekian kalinya,” katanya.
Beliau berkata, Maszlee sepatutnya bersetuju dengan suara majoriti untuk memilih perdana menteri, bukannya mempertahankan untuk mengekalkan Mahathir sebagai calon kerana tiada majoriti bersetuju.
“Saya bersetuju dengan Maszlee yang menyifatkan Mahathir sebagai ‘galah sejengkal’ yang diperlukan oleh PH untuk mengambil semula tampuk pemerintahan negara.

Namun agak aneh apabila Maszlee mencadangkan supaya galah sejengkal itu diangkat mengetuai kerajaan. Anwar Ibrahim yang memiliki sokongan 37 ahli Parlimen PKR dan sokongan DAP dan Amanah dipaksa mengalah,” katanya merujuk kepada kenyataan bekas pemimpin PPBM itu di Facebook hari ini.
Dalam tulisan bertajuk “Galah sejengkal Tun Dr Mahathir”, Maszlee berkata, rundingan PH untuk mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) haruslah tidak dibuat dengan keyakinan bahawa jawatan perdana menteri merupakan hak mutlak Anwar.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, tanpa Mahathir, peluang untuk PH mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis, bahkan mustahil.
“Hakikatnya jelas, tanpa Mahathir, peluang untuk mengambil semula kerajaan sangatlah tipis, bahkan mustahil.
“Kalau PH hanya berharap kepada kemampuan Anwar, maka sampai bila-bila pun PH tidak akan mampu melepasi angka keramat 112,” katanya.
Syukri berkata, mengapakah Maszlee tidak memujuk “galah sejengkal” dan penyokongnya untuk sama-sama berdiri teguh mengangkat Anwar sebagai perdana menteri?
“Jika alasan untuk memaksa Anwar mengalah ialah negara dalam bahaya dan memerlukan perubahan segera, maka mengapa alasan itu seolah-olah hanya tertuju kepada Anwar.
“Bukankah atas alasan yang sama, Mahathir dan kumpulannya juga perlu berlapang dada dan sepakat mengangkat Anwar,”katanya.
Tanpa berselindung beliau turut mendakwa bahawa pentadbiran PH selama 22 bulan yang diketuai Mahathir sebelum ini telah gagal kerana banyak janji yang tidak ditunaikan.

No comments: