Serang menyerang sesama sendiri dalam kerajaan PN



Belum sampai dua bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa, namun usaha untuk menjadi dominan dalam gabungan itu jelas kelihatan walaupun ketika negara berdepan dengan wabak Covid-19.

Yang paling ketara adalah serangan yang dibuat oleh para pemimpin dan menteri Umno terhadap rakan-rakan mereka dalam Kabinet PN.

Yang kasihannya, mangsa utama serangan adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sebelum ini adalah perancang utama kerajaan ini.

“MITI dah nak jadi super ministry ke?” tanya veteran Umno, Tan Sri Shahril Samad menegur langkah Azmin yang mengumumkan pelbagai perkara yang bukan di bawah kawalan kementerian itu.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki juga menghalakan senjatanya kepada Azmin apabila MITI mengumumkan kebenaran beberapa sektor pekerjaan yang melibatkan warga asing dibuka ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tidakkah cukup pengalaman negara jiran Singapura yang kembali meningkat kes jangkitan baharu Covid-19 dan kebanyakannya disumbangkan oleh pekerja asing,” kata Asyraf.

Selain Azmin, pemimpin Umno juga menghalakan serangan mereka kepada pemimpin Bersatu yang lain manakala MCA pula mula menunjukkan sikap sebenar mereka terhadap Pas.

Datuk Azalina Othman Said terus menerus membuat serangan kepada Bersatu. Yang terbaru adalah terhadap Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Tan Sri Annuar Musa pula mengkritik dan terus mensekolahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dari Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal yang terasa berada dalam Kabinet walaupun hanya timbalan menteri.

Serangan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting terhadap Timbalan Menteri Wanita, Siti Zailah Yusof dari Pas tidak mengejutkan walaupun ia kemudiannya ditarik balik selepas tersedar.

“Maaf cakap, Siti Zailah tidak layak menjadi Timbalan Menteri KPWKM

“Hanya berdiam diri terhadap sikap kasar suami? Ini tidak boleh diterima,” tulis Nicole.

Bagi penganalisis, apa yang berlaku sekarang membuat kerajaan PN dalam keadaan yang rapuh dan boleh tumbang bila-bila masa.

Ini kerana, susunan kuasa dalam kerajaan sekarang tidak berdasarkan parti tetapi lebih kepada individu ahli parlimen berkenaan.

Oleh itu, masing-masing parti dan individu akan berusaha untuk menempatkan diri mereka agar lebih dominan dan selamat.

“Umno takkan bagi ruang untuk Bersatu berkembang,” kata penganalisis politik, Dr Abdul Latif Ibrahim ketika mengulas fenomena ini.

Bagi beliau, masing-masing pihak cuba untuk mengembangkan pengaruh mereka dalam kerajaan PN ini.

“Hari itu, mereka bersatu untuk jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan sahaja. Tetapi lepas itu akan berlakulah persaingan kuasa yang hebat.

“Semasa BN memerintah dulu, kuasa yang dominan jelas pada Umno tetapi sekarang belum tentu,” kata bekas pensyarah sains politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.