Penjarakan pesalah PKP ‘langkah tidak betul’ – NGO
Cadangan kerajaan Melayu Perikatan Nasional (PN) untuk mewujudkan 13 penjara khas baru bagi menempatkan pesalah-pesalah perintah kawalan pergerakan (PKP) bukanlah satu idea yang baik.
Kumpulan NGO, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) berkata, melalui keputusan itu kerajaan memberikan isyarat kepada badan kehakiman agar semua pesalah selepas ini perlu dihumban ke penjara.
“EDICT sekali lagi ingin menggesa badan kehakiman untuk tidak memenjarakan pesalah PKP.
“EDICT ingin mengingatkan badan kehakiman dan kerajaan bahawa hak untuk menghukum adalah hak prerogatif badan kehakiman, bukannya pihak kerajaan.
“Memenjarakan pesalah PKP bukanlah suatu idea yang baik. Mewujudkan 13 buah penjara baru juga bukanlah suatu idea yang baik. Mereka akan lebih terdedah kepada kemudaratan,” kata NGO itu dalam satu kenyataan.
Semalam Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kementerian dalam negeri telah mewartakan 11 penjara sementara untuk menahan pesalah yang mengingkari PKP. Katanya, penjara itu akan mula beroperasi pada 23 April.
Mengulas lanjut, EDICT berkata, penjara bukan hanya sekadar suatu binaan tetapi perlu dilengkapi dengan pusat pemeriksaan kesihatan, pengurusan uniform dan pakaian, penyediaan makanan, penyediaan ubat-ubatan untuk tahanan yang memerlukan.
Selain itu, penyediaan keselamatan, sistem kawalan, pengurusan pelawat, kakitangan terlatih, termasuk warden, pengangkutan dan sebagainya juga perlu diambil kira.
Sehubungan itu, EDICT mengingatkan kerajaan akan tanggungjawab pemerintah sebelum memenjarakan rakyat.
“Pertama, kerajaan adalah bertanggungjawab atas kebajikan, kesihatan dan keselamatan setiap tahanan walaupun penjara tersebut dibuat hanya untuk pesalah PKP.
“Kedua, orang yang berada dalam tahanan lebih mudah untuk mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri. Oleh itu, kakitangan penjara harus mempunyai pengetahuan dan segala yang diperlukan untuk menghadapi tingkah laku bunuh diri tahanan. Mereka juga mesti dipertanggungjawabkan bagi setiap percubaan membunuh diri oleh tahanan.
“Ketiga, kemungkinan akan ada segelintir tahanan yang bersifat agresif dan berlaku ganas. Pergaduhan boleh berlaku di dalam penjara. Kakitangan penjara harus bersedia dan mencegah pergaduhan daripada tercetus,” katanya.
EDICT juga mengingatkan kerajaan bahawa dalam kes-kes melibatkan kematian dalam tahanan, mahkamah sentiasa memberi perhatian mengenai tanggungjawab pihak penjara.
Memetik contoh, kes Kamarulnizam Ismail yang meninggal dunia di penjara Tapah selepas beberapa hari menjalani hukuman 14 hari penjara, EDICT berkata hakim mendapati 12 individu dan pihak kerajaan bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian itu.
“Mahkamah berpendapat bahawa, memandangkan tahanan tersebut tidak sihat, warden patut memberikan perhatian kepadanya dan mengambil berat terhadap tahanan di bawah jagaan mereka.
“Mahkamah turut memberikan kos berjumlah RM162,000.00 serta faedah dikira daripada tahun 2014,” katanya.
Sehubungan itu, kata EDICT, rakyat sebagai pembayar cukai tidak harus menanggung ganti rugi yang diberi oleh mahkamah atas sebab kematian salah yang bakal berlaku – wang itu seharusnya digunakan untuk perkara yang lebih bermanfaat.