Menteri kaji hukuman keras ke atas pemandu mabuk
Setelah sekian lama dinanti, akhirnya kerajaan memberi respon terhadap isu pemandu mabuk.
Sejak beberapa bulan lalu, isu kemalangan membabitkan ‘orang mabuk’ telah mendapat perhatian kebanyakkan rakyat, apa lagi beberapa kes dilaporkan melibatkan kehilangan nyawa pengguna jalan raya lain.
Dilaman sosial, rakyat menyuarakan rasa berang dan muak atas kegagalan kerajaan memberi respon segera dalam hal tersebut.
Bagaimanapun, satu kemalangan yang terjadi semalam seolah-olah menjadi ‘wake up call’ kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Ahli Parlimen Seremban melalui muatnaik di Facebooknya berkata, kementeriannya memandang serius kejadian kemalangan yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Tambah Loke, pihaknya akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan kesalahan tersebut.
Semalam, seorang penunggang motosikal maut dirempuh kenderaan jenis Ford Ranger dipandu seorang lelaki.
Dalam kejadian di Jalan Kebun dari arah Bulatan Jalan Kebun menghala ke jejambat KESAS itu, dua lagi penunggang cedera parah.
Kenderaan jenis 4X4 dipandu penjual ikan berusia 37 tahun itu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh dua buah motosikal termasuk yang ditunggang mangsa .
Muhammad Zulfakkar Borhan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC meninggal dunia di tempat kejadian,
Susulan rasa geram, pemandu kenderaan 4×4 yang didakwa mabuk itu telah dibelasah lumat oleh penduduk setempat.
Beberapa hari sebelumnya,seorang lagi pemandu 4X4 ditahan polis kerana memandu melulu dan melanggar seorang penunggang motosikal.
Rakaman kejadian ditularkan ke laman sosial sehingga mencetuskan gesaan supaya pihak berkuasa menahan segera individu terbabit.