KALAU PERALIHAN KUASA MAHU DIANJAK KEPADA NOVEMBER, IA MESTI DISETUJUI ANWAR TERLEBIH DULU


Pada November 2018, setelah sebelum itu berkali-kali mengatakan hanya mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun, Tun Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak berhasrat melebihi tempoh yang sudah dijanjinya itu.
Kata Tun Mahathir, beliau tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk menyerahkan jawatan ketua kerajaan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim selepas tempoh dua tahun menjadi Perdana Menteri.
“Saya sudah berjanji akan meletak jawatan. Saya akan pegang janji saya.
“Adakah anda ingat sebarang perkara yang saya tidak menepati janji saya? Saya adalah satu-satunya ‘diktator’ yang meletakkan jawatan,” tambahnya lagi.
Seterusnya, Tun Mahathir juga menolak perkhabaran adanya persetujuan baru mengenai tempohnya menjadi Perdana Menteri.
“Tak ada. Saya cuma dua tahun sahaja. Dua tahun atau… tak tahulah, kalau dia (Anwar) bagi izin, dua tahun setengahlah,” kata Tun Mahathir berseloroh sambil melirik kepada Anwar yang duduk di sebelahnya.
Anwar ketika itu hanya ketawa saja, tidak mengangguk dan tidak juga menggelengkan kepalanya.
Dengan menyebut “kalau Anwar beri izin, dua tahun setengahlah” bermakna Tun Mahathir sejak awal memang menyedari tempohnya menjadi Perdana Menteri tidak akan melebihi dua tahun.
Mudah kata, kalau mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada tempoh itu – dua tahun setengah misalnya – ia hanya akan berlaku jika Tun Mahathir mendapat keizinan daripada Anwar.
Kenapa Tun Mahathir berkata demikian?
Jawapannya mudah saja. Tun Mahathir sejak awal sedar beliau hanya menumpang perjuangan PH bagi tujuan menumbangkan UMNO dan BN serta untuk menyingkirkan Najib Razak.
PH sejak PRU13 telah meletakkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-7 dan pada PRU14, oleh kerana beliau berada di penjara, maka adalah mustahil namanya diletakkan sebagai calon Perdana Menteri.
Di situlah munculnya persetujuan meletakkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Anwar dibebaskan dan sebelum mendapat pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong.
Setelah bebas dan mendapat pengampunan, jawatan Perdana Menteri hendaklah diserahkan kepada Anwar.
Tempoh dua tahun bagi Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri bererti sehingga Mei 2020.
Baru-baru ini, di sebalik ketidak-tentuan yang berterusan berhubung peralihan kuasa, Tun Mahathir memberitahu, beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas Sidang Apec 2020 di Kuala Lumpur pada November depan.
“Saya berjanji menyerahkan kuasa dan saya akan kotakannya tetapi saya rasa perubahan kepimpinan negara sebelum Sidang Apec akan menimbulkan gangguan,” ujarnya.
Dengan menganjakkan tempoh peralihan kuasa sehingga November, secara tidak langsung Tun Mahathir mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama dua setengah tahun sebagaimana pernah dibayangkannya pada November 2018 dulu.
Tetapi, adakah beliau mendapat izin daripada Anwar terlebih dahulu?
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tampak bersetuju untuk memberi pemanjangan tempoh Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri sehingga November sebagaimananya yang pernah dimintanya.
Kenapa Guan Eng begitu mudah bersetuju dengan Tun Mahathir?
Kenapa beliau tidak bertanya atau berbincang dengan Anwar terlebih dahulu?
Tidak dapat tidak, berikutan tarikh peralihan kuasa ini terus menjadi isu, bukan saja kepada PH tetapi juga kepada rakyat di merata-rata tempat, PH mesti bermesyuarat dalam waktu terdekat ini untuk memutuskannya.
Jika Mei atau bulan-bulan yang hampir dengannya mahu diputuskan untuk peralihan kuasa, yang penting untuk ditetapkan ialah tarikhnya saja.
Tetapi, jika mahu dianjakkan sehingga November iaitu dua tahun setengah selepas Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri, izin daripada Anwar perlulah diperolehi terlebih dahulu.
Hanya jika Anwar setuju memberi izin, sesuai dengan janji Tun Mahathir mahu mendapat izin daripada Presiden PKR itu terlebih dahulu, maka barulah boleh ditetapkan tarikh peralihan kuasa sama ada pada penghujung November atau tarikh-tarikh lain pada Disember 2020.
Kalau Anwar tidak setuju atau tidak sedia memberi izin, Majlis Presiden PH harus kembali kepada janji asal Tun Mahathir mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun saja dan Mei adalah tarikh muktamad penyerahan kuasa yang sepatutnya. (ShahbudinHusin 16/01/2020)

No comments: